ALOR SETAR: Seramai 41 pendaki dan tiga malim gunung yang terperangkap di air terjun Telaga Tujuh dekat Langkawi akibat kejadian kepala air pagi tadi berjaya diselamatkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Sayani Saidon, berkata semua mangsa berumur 30 hingga 50 tahun itu dibawa turun dari kawasan air terjun oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi.
“Semua mangsa dikatakan membuat pendakian ke Telaga Tujuh pada 4 pagi dan tiba ke puncak pada 7.30 pagi. Mereka berehat selama 30 minit dan memulakan perjalanan turun selepas hujan lebat.
“Sampai di aliran sungai, mereka tidak dapat menyeberang sungai berkenaan akibat arus deras dan menghubungi bomba. Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.56 petang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus dalam kenyataan berkata, keadaan di Langkawi masih hujan lebat berserta angin kencang.
“Pemantauan sedang dilakukan di kawasan-kawasan yang berpotensi mengalami banjir dan pemantauan paras air sungai utama juga sedang dilakukan.
“Mukim yang yang terjejas akibat banjir dan ribut adalah Ayer Hangat, Kuah, Padang Matsirat dan Ulu Melaka. Tanah runtuh berlaku di Jalan Gunung Raya di Mukim Ulu Melaka dan kerja pembersihan sedang dilakukan.”
Laman sesawamg Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras air Sungai Melaka di Padang Matsirat, Langkawi, melepasi paras bahaya dengan bacaan 3.89m dengan trend menaik setakat 4 petang tadi. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.