Sasterawan negara Usman Awang melihat kurang ajar orang Melayu tetap santun. Jika menipu pun masih bersopan. Bila mengampu orang Melayu bijak beralas tangan.
Usman yang nama penanya Tongkat Warrant juga melihat Melayu “berani kerana salah. Kecut takut kerana benar”.
Kata beliau, meski memiliki telaga, tangan orang Melayu masih memegang tali sedangkan orang mencapai timba. Maka kata beliau, “berbuahlah pisang tiga kali, Melayu itu masih bermimpi.” Setuju atau tidak begitu ‘perangai’ orang Melayu?
Perlu ditegaskan kata-kata beliau saya petik daripada sajak “Melayu” yang tentunya ramai sudah baca. Mengikut konteks artikel ini, kata-kata Usman tidak saya tulis mengikut susunan dalam sajaknya.
Sajak “Melayu” ada juga menonjolkan nilai baik orang Melayu. Hakikatnya sajak itu bukan bertujuan menghina. Ia mahu melonjak Melayu menjadi bangsa berilmu yang tidak mudah ditipu dan digula-gulakan.
Ini pula sedikit catatan Frank Swettenham, residen jeneral pertama Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pemerhatiannya mengenai orang Melayu pada zaman lampau dimuatkan dalam karya beliau, “Malay Sketches” pada 1895. Untuk artikel ini saya petik terjemahan buku itu yang berjudul “Gelagat & Ragam Orang Melayu” yang diusahakan dengan baik oleh Zamani Ishak dan Norziati Rosma.
Bab 1 diberi tajuk “Melayu Sejati”. Menurut Swettenham, orang Melayu “umumnya baik budi nya, bersopan-santun dan tenang. Mereka juga sangat patuh. Seperti juga orang Timur yang lain, layanan baik salah satu sikap terpuji orang Melayu baik golongan atasan mahupun bawahan, baik kaya mahupun miskin.”
Ada lagi puji-pujian yang diberi Swettenham. Tetapi ada juga unsur negatif, menurut pemerhatian beliau. Kata beliau, Melayu juga “boros, suka berhutang tapi lorat membayarnya”. Betul ke?
Kata Swettenham lagi, orang Melayu tidak mudah menerima “…perubahan, bangga dan taat akan negara dan masyarakatnya, patuh akan adat yang diwarisi, takut akan raja dan sangat menghormati pihak berkuasa, pandang serong segala bentuk pembaharuan dan akan menolak jika dibuat secara mendadak.”
Adakah itu benar? Mungkin itu perangai Melayu dulu-dulu bukan Melayu sekarang?
Beralih ke penulisan kolumnis FMT, Murray Hunter yang disiar pada 15 Okt berjudul “The psychology of the Malay heartland”. Atau “psikologi nusa teras Melayu”.
Oleh kerana kita sedang demam PRU15, satu aspek penulisan Hunter yang saya tumpukan ialah pandangan dan ‘kepercayaan’ orang Melayu dalam politik yang lazimnya menentukan pilihan mereka ketika mengundi. Kata beliau, ramai orang melihat rasuah sebagai jenayah serius yang menjijikkan. Lantas mereka tidak faham mengapa politikus korup boleh diterima malah disanjung.
Orang di nusa teras Melayu, kata Hunter, “mempunyai pandangan berbeza mengenai rasuah. Seorang pemimpin politik menolong kawan yang dalam kesulitan dengan kontrak kerajaan dianggap ‘tindakan murni’ bukan tindakan rasuah.”
Kata Hunter, seorang Ahli Parlimen Umno dilihat oleh pengundi di kawasannya seakan Robin Hood. Izin saya menambah: menurut kisah orang Inggeris, Robin Hood merompak orang kaya untuk menolong orang susah.
Menurut Hunter, si Robin Hood Umno itu dikatakan kerap pergi merata negeri untuk memberi hadiah dan wang, membantu rumah anak yatim, melawat hospital, dan membuat sumbangan kepada masjid. Ini memikat hati orang Melayu.
Bagi saya, tidak ada salahnya jika wang yang digunakan daripada sumber halal dan bersih.
Mengenai skandal 1MDB pula, Menurut Hunter, ia sesuatu yang rumit dan susah difahami dalam kalangan penduduk kawasan tegar Melayu. Juga menurut beliau bukan senang untuk “mengatasi adat bahawa pemimpin tidak akan melakukan kesalahan lantas mesti dihormati”. Setuju atau tidak dengan pandangan demikian?
Hunter mendakwa “rasuah dalam kalangan institusi kerajaan kerap ditutup. Sesiapa yang mendedahkan korupsi kepada umum boleh disifatkan sebagai mencabar atau melawan budaya norma Melayu. ‘Menyerang’ isu ini berterusan mungkin boleh menjadi tidak produktif.”
Menurut Hunter, ada tiga aspek identiti sosial Melayu yakni raja, agama, dan bahasa. Aspek dominan ialah agama Islam yang mencorakkan bagaimana orang Melayu melihat dunia.
Kata Hunter, ramai orang Melayu percaya menjadi Muslim lebih penting daripada menjadi “Malaysian”. Apa-apa yang luar daripada pandangan ini boleh dianggap “ancaman”, kata beliau.
Politik sekular tidak punyai tempat di nusa teras Melayu kerana disifatkan bertentangan dengan pandangan identiti sosial Melayu. Pendapat bahawa orang Melayu akan menjadi lebih baik bawah kerajaan sekular akan dilihat dengan curiga.
Untuk menang di kawasan tegar Melayu, seseorang mesti Islamik. Saya mencelah – sekurangnya-kurang ‘dilihat’ Islamik.
DAP untuk sekian lama dimomokkan sebagai anti-cara hidup Islam, kata Hunter. Ini semua tahu. Ini naratif politik yang berjaya. Itu sebabnya Islam digunakan sepenuhnya untuk meraih undi khususnya konon Islam terancam.
Umno telah lama menjenamakan diri mereka sebagai pembela orang Melayu dan agama Islam. Umno menggunakan naratif bersyukur, satu unsur penting dalam budaya Melayu, menurut Hunter lagi. Orang Melayu bertahun-tahun lamanya ditanam kepercayaan untuk bergantung harap.
Benar kata beliau. Umno mendakwa mereka melindungi orang Melayu daripada “golongan jahat” yang mahu “mengubah cara hidup orang Melayu”.
Di nusa teras Melayu, naratif begitu diterima malah ditelan bulat-bulat. Namun, kata Hunter, sudah ada yang mula tidak percaya. Itu sebabnya PKR mendapat sokongan sedikit sebanyak di situ, tetapi perkembangan itu perlahan.
Saya akhiri dengan pertanyaan Usman dalam sajak “Melayu” nukilannya:
“Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu, masihkah tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang jika pantang menghalang kemajuan,
Jangan segan menentang larangan jika yakin kepada kebenaran,
Jangan malu mengucapkan keyakinan jika percaya kepada keadilan.” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.