`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 17, 2022

‘Abah’ kesayangan dan KWSP ‘anak’

 

Ketika naik ke Kota Bharu, Kelantan untuk mengutip data dan merasai sentimen pengundi di Pantai Timur bagi PRU15, ada sesuatu yang menyentak perasaan saya. Sekumpulan wanita memberitahu mereka memilih “parti yang membenarkan kami mengeluarkan duit KWSP, jadi encik tahulah kami akan undi parti mana.”

Sebagai seorang yang harus neutral ketika di lapangan, saya tidak ingin memanipulasi pandangan responden. Pun sekali ini, saya memberikan kenyataan balas secara berhati-hati supaya mereka berfikir waras dan terus berkongsi maklumat, demi menjayakan kajian lapangan saya itu.

Makanya, saya mengusik, “wang KWSP itu simpanan masa hadapan untuk hari tua. Ia tabungan yang tidak harus dibenarkan keluar.”

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Salah seorang yang seakan ketua kumpulan wanita itu menjawab, “tak kira, kami perlukan duit. Masa depan itu cerita akan datang.”

Apabila ditanyai apakah tujuan wang itu dikeluarkan, mereka membalas; “supaya dapat macam orang lain juga membeli-beli apa patut.”

Jawapan mereka membuatkan saya sangat sedih. Dalam kajian Apnizan Abdullah dan Abdullah Abdul Rahman berjudul “Origin and Development of Islamic Banking and Finance”, terbit sebagai bab dalam buku “Islamic Banking and Finance”, mereka menjelaskan bagaimana orang Melayu zaman lalu ghairah menggadai tanah kepada ceti sehingga terlepas habis, semata-mata untuk boleh meraikan sesuatu yang sementara seperti berkenduri-kendara besar dan bersuka ria.

Melihat tingkah laku yang buruk itu, seorang elit Melayu prihatin bernama Maarof Zakaria berusaha menubuhkan sebuah bank pada 1946 dan ia diberi nama Bank Kebangsaan Melayu (Malay National Bank). Beliau berusaha menubuhkan bank ini demi mengekang perangai cuai, langut, lewah, dan tidak bertanggungjawab. Caranya ialah dengan mendidik Melayu dari segi kewangan, dan agar mendapatkan pinjaman pada kadar yang adil dan munasabah.

Maarof ini anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan yang mendapat pendidikan Inggeris dan satu era dengan Pendeta Za’aba. Beliau juga hidup sezaman dengan sasterawan Pak Sako, yang merupakan seorang nasionalis.

Tatkala pemimpin politik Melayu sedang berjuang untuk kemerdekaan, Maarof berjihad dengan cara lain, iaitu mengasaskan bank pertama untuk orang Melayu. Ia dikatakan bertempat di Klang Street, Kuala Lumpur. Bank itu ditubuhkan bersama rakannya, mendiang S M Leong, seorang Cina. Maarof yang begitu progresif bersama-sama rakannya, Leong yang berfikiran jauh, merangka pelan tersebut.

Akan tetapi apa yang diusahakan oleh Maarof terbantut dan hayatnya berakhir dengan amat tragis. Beliau diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban. Selepas tiga hari ‘hilang’, mayat Maarof ditemukan dalam keadaan menyedihkan iaitu tergantung pada sebatang pokok dalam belukar di Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang. Kematian ini mendapat liputan meluas ketika itu.

Siapa yang membunuh Maarof tidaklah diketahui sehingga akhirat nanti. Entah ceti, entah pesaingnya, atau entah sesama Melayu sendiri. Sebab ada sahaja Melayu yang suka Melayu terus bodoh dan menggadai harta. Melayu yang tidak peduli. Yang suka Melayu senang dikudakan.

Untuk mengenang jasa Allahyarham, sebatang jalan di Bangsar diabadikan dengan nama beliau iaitu Jalan Maarof. Poin saya, seorang pemimpin dan pemikir Melayu, atau seorang negarawan seperti Maarof; hendaklah membuat dan memberikan suatu wawasan untuk bangsanya.

Jihad Maarof menubuhkan sebuah bank untuk orang Melayu wajar kita renung. KWSP tabungan untuk masa depan. Kerajaan Melayu mestilah seperti Maarof, memikirkan bagaimana menyelamatkan orang Melayu daripada merosakkan diri.

Pemimpin Melayu harus faham jiwa Melayu. Seorang pemikir dan pemimpin yang mahu bergelar ‘Abah’ hendaklah tidak mengizinkan anak-anak mengeluarkan tabungan mereka untuk urusan terkinja.

Mereka mestilah mempunyai idea dan inovasi untuk menguruskan penyakit Melayu begini. Seperti Za’aba, seperti Pak Sako, dan seperti Maarof yang memerah fikiran untuk menyelamatkan bangsa dari jahanam. Kumpullah cendekiawan ikhlas. Bukan kaki jilat macam sedia ada di universiti.

Akan tetapi pemimpin sedia ada kita sebaliknya menggunakan kelemahan, kelalaian, dan keinginan Melayu itu untuk ditenggek demi serakah kuasa mereka. Bukan hendak mengubatkan mereka. Melayu mahu, maka kita beri apa yang Melayu mahu. Rosak pun rosaklah. Seorang ‘Abah’ hendaklah seperti doktor, mencegah penyakit pesakitnya. Kalau sakit jantung kerana kuat merokok, maka dicarikan jalan supaya berhenti merokok.

Mengeluarkan wang dan membelanjakan tunai ini, bak kata peguam saya Abdullah Abdul Rahman, satu kecanduan. Saya difahamkan ada gerakan mengeluarkan duit KWSP yang begitu kuat sehingga ada akaun Facebook mendesak supaya mereka boleh mengeluarkan duit tersebut. Tentu, mereka akan menghujahkan ia dikeluarkan kerana hidup susah dan bukan untuk berboros.

Mereka yang saya temui sebagai responden di Kota Bharu itu mengatakan, “pitih kawe maka kawe punya suka.” Sangat menyedihkan.

Tidaklah menghairankan ada parti bertanding menggunakan tawaran populis ini. Dia mendapat undi, dia masyhur. ‘Anak’ mahu ‘berjudi’ dengan masa depan, dek ‘sayang’ maka dibenarkan. Analoginya seorang bapa yang merosakkan anaknya dengan mengizinkan anaknya berjudi. Macam dalam filem Sayang Salmah, lakonan Azhar Sulaiman dan Sofia Jane, satu ketika dulu. Habislah segala harta, wang simpanan, dan tanah digunakan untuk kegunaan sekejap. Masa depan nantilah cerita lain.

‘Abah’ dalam Sayang Salmah lakonan Jalaluddin Hassan pendek fikiran. Sebab takut anak yang ketagih dan gian nanti mengamuk, maka dibiarkan. Tak adalah dalam kalangan pemimpin kita yang boleh menjadi seperti Maarof. Tak ada idea kreatif, tak ada gagasan. Apa yang anak-anaknya mahu, ‘Abah’ ikutkan.

Asalkan ‘Abah’ diundi lagi.

Melayu macam yang saya temui di Kota Bharu suka begitu. Macam Melayu dulu, jual tanah demi benda kecil. Jual masa depan demi segenggam duit. Mereka ini percaya momokan orang yang sakit hati usaha sepertinya arwah Maarof. Lagi teruk kalau salahkan Leong. Kalau tidak jalan juga, culik dan gantung di pohon bagi mati. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.