KUALA LUMPUR: Sistem perdagangan antarabangsa memerlukan pembaharuan segera ketika dunia terus menyaksikan amalan dagangan yang tidak adil, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan walaupun Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) wujud, dunia sebaliknya terus dihadapkan dengan langkah-langkah perlindungan serta pelaksanaan sekatan bukan tarif yang turut memberi kesan terhadap negara sedang membangun.
“Perdagangan tidak lagi membolehkan negara-negara membangun ini meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai.
“Pasaran eksport menjadi lebih khusus dan dikuasai oleh syarikat-syarikat besar dan platform digital,” katanya.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Tindakan Bersama (CAF) 2024 bertajuk ‘Sovereignty and Fair Interdependence – The Global South and the Democratisation of Prosperity’.
Menjelaskan selanjutnya, perdana menteri menegaskan sejajar dengan perkembangan semasa, perdagangan antarabangsa bukan setakat perlu bebas, tetapi juga berperikemanusiaan dan saksama.
Pada masa sama, perdagangan dunia juga menyaksikan jurang teknologi yang terus ketara dan menjejaskan kemajuan dalam aspek perubahan iklim dan keselamatan kesihatan.
Anwar berkata, ini berikutan rejim harta intelek semasa yang pada asalnya bertujuan memberi manfaat untuk inovasi, kini mengenakan halangan besar terhadap pemindahan teknologi.
“Langkah bagi kemajuan masa depan memerlukan pembaharuan rangka kerja harta intelek yang wajar dalam usaha mengembangkan akses ke atas teknologi dan pada masa sama terus memberi insentif kepada inovasi.
“Pendekatan seimbang sedemikian akan membolehkan kita bersama-sama menangani cabaran dan menggalakkan lagi pembangunan yang inklusif dan mampan,” katanya.
Perdana menteri turut menekankan kepentingan usaha merapatkan jurang teknologi untuk membangunkan dunia dengan semua negara berupaya menyumbang kepada kemakmuran.
Sehubungan itu, beliau menggesa multilateralisme atau sistem pelbagai hala lebih kukuh dan berbeza secara asasnya dan memerlukan peraturan global yang mengutamakan pembangunan saksama, mewakili suara sebenar untuk negara-negara sedang membangun selain langkah tegas terhadap jenayah kemanusiaan.
“Kita perlukan keterangkuman, kemampanan dan keadilan. Sistem pelbagai hala ini adalah ruang dipertandingkan. Kuasa yang kuat menentang kemajuan, namun cabaran yang dihadapi manusia, sama ada bencana iklim atau kemiskinan, hanya boleh diselesaikan secara kolektif.
“Tiada negara yang mampu melakukannya secara sendirian,” katanya.
Bersandarkan keadaan itu, Anwar menegaskan Malaysia dan negara-negara yang berpendirian sama perlu mempunyai rakan yang teguh dan boleh dipercayai bagi mewujudkan dunia yang lebih adil.
“Atas alasan inilah Malaysia berusaha menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan negara-negara yang memperjuangkan sistem pelbagai hala ini dengan berpandukan dasar luar yang diperbaharui serta berteraskan keterangkuman dan keadilan.
“Konfigurasi tata kelola global semasa adalah suboptimal (kurang optimum). Ia tidak mampu memenuhi cabaran pada hari ini,” katanya.
Sambil merujuk fakta, perdana menteri berkata usaha pembasmian kemiskinan juga terbantut, selepas pandemik mendorong 120 juta penduduk sekali lagi ke dalam kemiskinan melampau – peningkatan kemiskinan global pertama dalam tempoh 20 tahun.
“Malah, pada hari ini, hampir satu persepuluh daripada manusia hidup dalam kemiskinan yang melampau. Menjelang 2030, sebanyak 600 juta mungkin berdepan kelaparan.
“Jika mengambil kira kadar semasa, usaha menamatkan kemiskinan tegar akan memakan masa beberapa dekad. Kesemua ini bukan satu kebetulan, sebaliknya timbul daripada sistem yang tidak direka untuk menjadi inklusif,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.