`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, December 6, 2025

Peguam kes tembakan di Melaka dakwa diugut bunuh

Polis berkata peguam itu membaca komen mengandungi unsur ugutan bunuh di media sosial yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes sedang dikendalikannya.

Shamsudin Mamat
Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat berkata peguam itu membuat laporan di IPD Petaling Jaya pada 5.16 petang semalam.
PETALING JAYA:
 Peguam mewakili keluarga tiga individu ditembak mati di Melaka mendakwa menerima ugutan bunuh di media sosial semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mamat, berkata peguam itu membuat laporan di IPD Petaling Jaya pada 5.16 petang semalam.

“Hasil siasatan mendapati peguam berkenaan membaca komen daripada individu tidak dikenali menerusi hantaran di platform media sosial ketika berada di pejabatnya di Petaling Jaya.

“Komen yang mengandungi unsur ugutan bunuh tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan peguam berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, keterangan peguam itu sudah diambil malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Shamsudin menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Pada 24 Nov lalu, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, seorang anggota polis berpangkat koperal parah di lengan kiri akibat libasan parang seorang daripada tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun yang ditembak mati kemudian di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal pada 4.30 pagi.

Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian mencecah RM1.35 juta.

Susulan itu, media pada 3 Dis lalu melaporkan ahli keluarga tiga suspek itu menolak dakwaan mereka bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

Keesokannya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar dilaporkan berkata, sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.