`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, December 5, 2025

Perasuah perlu dibankrapkan, Azam beri amaran

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata ia bagi mengelakkan perasuah berpeluang menikmati harta curi.

azam baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menegaskan komitmen agensi itu memulangkan semula setiap sen aset negara yang diseleweng kepada rakyat.
PETALING JAYA:
 Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memberi amaran tegas perasuah perlu dibankrapkan bagi mengelakkan mereka menikmati harta curi.

Beliau menegaskan komitmen agensi itu memulangkan semula setiap sen aset negara yang diseleweng kepada rakyat.

Katanya, pendekatan pemulihan aset akan terus diperhebatkan sepanjang tahun depan, selaras strategi SPRM mengurangkan ketirisan pada tahap maksimum dan memastikan perasuah tidak dapat menikmati hasil rompakan mereka.

Menurutnya, SPRM akan memfokuskan siasatan lebih agresif terhadap kes berprofil tinggi dan berskala besar pada tahun depan bagi memastikan individu mempunyai kedudukan, kuasa atau kekayaan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Masyarakat kini semakin peka dan bijak menilai, sekali gus menuntut pendekatan baharu lebih berkesan dalam operasi, pencegahan serta pendidikan antirasuah di semua peringkat.

“Pendekatan lama yang lapuk perlu ditransformasikan, walaupun ada pendekatan baharu berusia setahun atau dua, ia mungkin tidak lagi relevan pada tahun mendatang.”

Beliau berkata demikian menurut Sinar Harian pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Azam berkata, keupayaan dan kemahiran pegawai SPRM akan terus dipertingkatkan melalui penggunaan teknik siasatan moden, selain kerjasama strategik dengan agensi di dalam dan luar negara bagi mengesan aset hilang atau dicuri.

Di bawah strategi antirasuah nasional, katanya, pelbagai pembaharuan undang-undang sedang digerakkan termasuk undang-undang perolehan, Rang Undang-undang Freedom of Information serta pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan Default Protection Agreement serta pemberian insentif potongan cukai kepada syarikat melaksanakan program pencegahan rasuah sebagai antara pembaharuan penting yang akan diteruskan tahun depan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.