Mesyuarat Jemaah Menteri diberitahu kerajaan persekutuan telah lunas keperluan kewangan berkait tanah Felda yang ada pertikaian dengan kerajaan Terengganu.

Menurut jurucakap kerajaan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim beritahu Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini bahawa ada beberapa perkara yang tidak disusuli oleh pihak kerajaan negeri.
“Petang ini, ketua setiausaha Perbendaharaan (Johan Mahmood Merican) ada perbincangan dengan kerajaan Terengganu untuk memastikan apa yang telah kerajaan persekutuan lunaskan kini perlu disusuli oleh pihak kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita, seusai acara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan perbincangan di Putrajaya itu membabitkan Johan dan Jawatankuasa Task Force Tanah Felda Kerajaan Negeri, diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Zulkifli Ali.
Kerajaan Terengganu pada Ahad mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar, mendakwa selama lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.
Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Azman Ibrahim, dilaporkan berkata tindakan itu diambil selepas Felda gagal memberikan maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30% tanah milik kerajaan negeri yang diteroka sejak 40 tahun lepas.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata berhubung isu itu, mengandungi saranan dan cadangan daripada mesyuarat lembaga pengarah Felda dan FGV Holdings Bhd (FGV), akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Hari ini, Azman berkata proses penguatkuasaan Notis 425 Kanun Tanah Negara terhadap FGV akan diteruskan selagi tiada keputusan muktamad dan tiada persetujuan dicapai dalam tuntutan itu, lapor Berita Harian. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.