Mahkamah Koroner Kota Kinabalu akan sambung kembali inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu pada 21 Jan depan.

Perbicaraan kelima-limanya dijadual dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 12 Dis serta 15 hingga 19 Dis.
Ketika mengumumkan penangguhan selepas inkues berjalan selama 52 hari, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengingatkan
orang ramai mengelak mengeluarkan komen mengenai prosiding berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya mengelak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berkaitan kes ini. Jika ada sesiapa yang mempunyai bukti baharu atau tambahan, mereka harus menghubungi pegawai penyiasat.
“Itulah saluran yang betul. Jangan ‘mendahului’ inkues,” katanya menurut Bernama sambil menegaskan spekulasi awam boleh mengganggu keadilan dan integriti prosiding memandangkan tujuan inkues berkenaan untuk menegakkan keadilan.
Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Asni Marjan yang bakal bersara bulan depan.
Saksi ke-57 memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah melihat mesej teks didakwa dihantar oleh ibu seorang pelajar dikenali sebagai A – yang berdepan pertuduhan membuli berkaitan dengan kematian Zara, kepada ketua warden sekolah Azhari Abdul Sagap pada malam kejadian.
Peguam Joan Goh yang mewakili pelajar A, mengemukakan mesej yang dihantar oleh ibu anak guamnya kepada Azhari antara 10.28 malam hingga 10.54 malam pada 15 Julai. Mesej berkenaan dipercayai berkaitan dengan satu insiden yang berlaku di asrama pada malam itu.
Asni berkata, beliau tidak pernah ditunjukkan sebarang mesej sedemikian oleh ketua warden dan tidak dimaklumkan mengenainya pada masa berkaitan.
Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.