`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Wednesday, December 10, 2025

Rombakan Kabinet, strategi PMX pasca PRN Sabah

Dalam melakukan rombakan Kabinet, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mungkin perlu menilai semula strategi politik menuju PRU16.

anwar ibrahim cabinet meeting

Saya mulakan tulisan ini dengan mengimbas semula mengapa kerusi Kabinet kosong. Alasannya terbahagi kepada tiga kategori:

1. Tewas pemilihan parti (PKR)

  • Menteri Ekonomi Rafizi Ramli
  • Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad

2. Pendirian tidak sehaluan

  • Ewon Benedict meletak jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi menjelang PRN Sabah, bulan lalu selepas tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara mengenai keputusan mahkamah berkaitan hak 40% hasil Sabah. Ewon menegaskan pendirian berasaskan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

3. Tamat tempoh lantikan Senator

  • Tengku Zafrul Aziz mengosongkan kerusi menteri pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Aziz selepas tamat penggal kedua jawatan senatornya, 2 Dis lalu.
  • Tiga lagi menteri turut terikat dengan tempoh lantikan Senator yang tamat pada 2 Disember 2025, iaitu Saifuddin Nasution (Dalam Negeri), Mohd Na’im Mokhtar (Hal Ehwal Agama), Zambry Kadir (pendidikan tinggi). Ketiga-tiganya telah mengangkat sumpah untuk penggal kedua.

Strategi PMX pasca PRN Sabah

Keputusan PRN Sabah membawa implikasi besar kepada politik nasional. Keputusan yang kompleks—termasuk wujudnya beberapa kerusi tergantung menunjukkan ketidaktentuan yang serius. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 29 daripada 73 kerusi DUN, kurang lapan kerusi untuk majoriti mudah 37 kerusi. Warisan memenangi 25 kerusi manakala selebihnya dimenangi 6 oleh Barisan Nasional (BN), lima oleh calon bebas, 3 Upko, 2 Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan masing-masing satu oleh Pakatan Harapan (PH) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

GRS membentuk kerajaan campuran yang realistik dengan satu Adun BN dilantik menteri, bebas (empat pembantu menteri), Upko (satu timbalan ketua menteri), STAR (satu pembantu menteri) dan PH (satu menteri).

Realitinya, PRN17 turut menunjukkan PH hampir lenyap di Sabah: daripada 22 kerusi ditandingi, hanya satu dimenangi PKR; manakala DAP tewas di semua lapan kerusi dan Amanah satu kerusi.

Isyarat sama sebenarnya telah bermula sejak PRN12 Sarawak (2021), apabila DAP hanya memenangi dua daripada 26 kerusi ditandingi manakala PKR tewas semua kerusi.

Keseluruhannya, keputusan di Sabah dan Sarawak menunjukkan parti nasional dari Semenanjung—PH, BN atau PN—berada di persimpangan besar. Pengundi Borneo jelas menzahirkan ketidakpuasan. Trend ini membawa kesan besar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan semua parti Semenanjung menjelang PRU16 yang dikatakan berlangsung sekitar 2027.

Secara tidak langsung, sudah terbentuk ‘Blok Borneo’, yakni gabungan GPS dan GRS yang bakal menjadi kingmaker pembentukan Kerajaan Persekutuan. Model baharu politik Malaysia ini memaksa Semenanjung mengakui struktur federalisme gabungan, iaitu kerajaan Putrajaya yang bergantung kepada sokongan parti tempatan Sabah dan Sarawak. Jika trend ini menjalar ke Semenanjung, PH berisiko hilang sokongan pengundi, terutama di kawasan bandar.

Kekosongan kabinet, strategi pengisian

Rombakan Kabinet pasca PRN17 bukan sekadar soal mengisi jawatan, tetapi mengurus persepsi politik nasional berdasarkan dua faktor utama: tuntutan autonomi Sabah–Sarawak, dan pengukuhan blok PH–BN di Semenanjung.

Jika gagal diimbangi kedua-duanya, boleh mencetuskan ketegangan politik lebih serius menjelang PRU16. Kekosongan jawatan Kabinet membuka peluang kepada PMX menyusunnya semula dengan pendekatan lebih strategik.

A) Faktor tuntutan autonomi Sabah, Sarawak

Peletakan jawatan Ewon kerana isu MA63—khususnya hak 40% hasil Sabah—menjadi petunjuk jelas bahawa ini antara titik tegang terbesar antara Sabah dan Putrajaya. Kekosongan portfolionya memberi peluang kepada PMX melantik tokoh Sabah yang bukan sahaja pro-Kerajaan Persekutuan, tetapi mampu membawa naratif MA63.

Portfolio itu kini dipangku Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, tokoh Sarawak. Keputusan PMX ini menunjukkan strategi meredakan ketegangan melalui Sarawak terlebih dahulu, memandangkan negeri itu turut berkepentingan dalam isu MA63.

Dalam rombakan seterusnya, kemungkinan besar tokoh Sabah akan diberikan portfolio strategik, termasuk kerja raya. Ini kerana projek Pan Borneo Sabah kerap dikaitkan dengan kelewatan dan masalah infrastruktur, berbanding Sarawak yang hampir menyelesaikan keseluruhan jajaran menjelang 2026. Penetapan tokoh Sabah dalam portfolio ini akan memberi jaminan bahawa Putrajaya serius menangani keluhan rakyat Sabah.

B) Pengukuhan blok PH–BN di Semenanjung

Naratif pengukuhan blok PH–BN selepas PRN Sabah wajar dinilai secara kritikal kerana keputusan pilihan raya itu sebenarnya melemahkan imej gabungan di peringkat nasional. PH hanya memenangi satu kerusi, DAP gagal mempertahankan semua kerusi ditandingi, manakala BN hanya memperoleh enam kerusi. Ini menonjolkan kegagalan parti-parti Semenanjung menembusi Sabah.

Dalam konteks Semenanjung pula, kelemahan ini berpotensi mencetuskan reaksi balas pengundi menjelang PRU16, khususnya pengundi muda (Undi18) yang kini membentuk hampir 30% daripada keseluruhan pengundi dan cenderung menolak parti tradisional.

Maka, naratif pengukuhan PH–BN bukan sesuatu yang terjamin; ia bergantung kepada sejauh mana gabungan ini mampu menangani isu kos sara hidup, integriti dan aspirasi reformasi yang terus menjadi tuntutan rakyat.

Cabaran Strategi PMX

Cabaran terbesar PMX ialah mengelakkan persepsi ‘dominasi persekutuan’ iaitu Putrajaya dilihat terlalu berkuasa berbanding Sabah dan Sarawak.

Sentimen autonomi kini sangat tinggi di kedua-dua wilayah dan pengundi Borneo sudah menunjukkan reaksi melalui PRN Sabah serta Sarawak. Mereka lebih memilih parti tempatan yang membawa isu MA63 dan pembangunan.

Oleh itu, PMX perlu mengelak pertembungan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak dalam isu MA63 dan pembangunan.

Situasi di Sabah lebih kritikal dengan langkah dilihat mencabar autonomi boleh mengakibatkan pihak tertentu menarik sokongan. Jika berlaku, kestabilan politik negeri dan nasional boleh terjejas serentak.

Bilcher Bala adalah anggota Majlis Sejarawan Negara (MSjN) dan Felo Kanan Universiti Malaysia Sabah

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.