Wakil NUTP Fouzi Singon berkata penyeragaman pakaian sekolah wajar jadi permulaan perubahan, elak perkara kosmetik tak beri kesan kepada murid.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata langkah itu seharusnya menjadi permulaan kepada perubahan dasar lebih bermakna dan mengatasi masalah meruncing.
Menurutnya, ada beberapa isu perlu diselesaikan segera seperti penggredan sekolah tidak dikemas kini, kekurangan guru dalam bidang tertentu dan beban tugas bukan pengajaran.
Beliau mendakwa NUTP menerima banyak aduan guru terpaksa berada di luar kelas kerana tugas tambahan tidak memberi kesan kepada akademik, antaranya perhimpunan terlalu panjang dan aktiviti luar bertindan.
“Jika KPM benar-benar mahu mengelakkan perubahan kosmetik, perkara luar bilik darjah yang tidak memberi impak akademik wajar dikurangkan.
“Langkah berkaitan pakaian seragam harus menjadi permulaan perubahan dasar lebih bermakna, bukan sekadar menampilkan imej luar tanpa impak sebenar kepada pendidikan,” katanya kepada FMT.
Menurut Berita Harian, Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad baru-baru ini berkata perkara bersifat kosmetik dan tidak memberi kesan kepada pendidikan murid perlu dielakkan seperti aspek pakaian yang ketika ini ada sekolah menyediakan sehingga tujuh warna.
Selain itu, pelbagai kemeja-T untuk aktiviti berbeza serta barangan tambahan seperti blazer dan ves.
Sehubungan itu, Azam berkata KPM akan menyelaraskan pakaian seragam sekolah yang dirancang tahun depan bertujuan menangani isu kewangan ibu bapa selain mewujudkan kebersamaan serta semangat perpaduan dalam kalangan murid.
Fouzi berkata kesungguhan KPM menghapuskan perkara bersifat kosmetik itu juga wajar diterjemah kepada pengukuhan bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM), penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta menangani masalah sosial murid.
“Minat terhadap STEM perlu dipupuk sejak sekolah rendah dengan pendekatan menyeronokkan bukan tekanan.
“Begitu juga penggunaan AI dan teknologi, prasarana perlu dipertingkat supaya tidak membebankan guru dan murid,” katanya.
Wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah kebangsaan Pulau Pinang Jalil Mastan pula berpandangan usaha menangani perkara kosmetik tidak memberi kesan seharusnya bermula di peringkat awal tanpa menunggu arahan KPM.
“Perubahan pakaian semata-mata tidak akan membawa kesan besar kepada pendidikan jika isu sebenar di sekolah tidak ditangani.
“Ada banyak isu lain lebih penting seperti kualiti pembelajaran, buli dan beban guru,” katanya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.