`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 13, 2026

KJ-Ong: Kuasa ketiga yang Malaysia amat perlukan?

Malaysia amat perlu beralih daripada naratif kaum dan agama.

tajuddin rasdi

Menurut laporan FMT, bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan bekas Ahli Parlimen Umno, Khairy Jamaluddin (KJ), bagi menubuhkan sebuah parti politik baharu.

Beliau malah melangkah lebih jauh dengan menyatakan bahawa kepercayaan beliau terhadap KJ adalah sangat tinggi sehingga beliau bersedia untuk berkhidmat sebagai menteri sekiranya KJ dilantik sebagai perdana menteri.

Prospek tersebut amat mengujakan saya.

Selama bertahun-tahun, saya membayangkan senario di mana sebuah parti politik baharu dapat menawan semula imaginasi dan harapan rakyat. Salah satu senario tersebut melibatkan KJ dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Kedua-dua tokoh ini layak untuk memimpin, namun di situlah letaknya masalahnya: kedua-duanya mahu menerajui. Dua ekor harimau mendiami satu gunung jarang sekali dapat hidup bersama dengan aman, dan kita boleh dengan mudah perselisihan, sepertimana antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Rafizi — senario yang tidak akan membawa kebaikan kepada negara.

Namun, dinamik tersebut berubah apabila bercakap tentang Ong. Bekas Ahli Parlimen Bangi itu layak memimpin, tetapi beliau seseorang yang berjiwa besar. Sifat rendah diri dalam kalangan ahli politik adalah sesuatu yang jarang dilihat, dan kualiti inilah yang membuatkan Ong menonjol.

Gandingan KJ–Ong adalah sesuatu yang akan saya sokong sepenuhnya. Malah saya akan menggalakkan anak dan cucu melakukan perkara yang sama. Inilah sebabnya.

Pada masa ini, pilihan rakyat terhad antara dua pasangan: di satu pihak kita mempunyai Anwar Ibrahim-Zahid Hamidi, dan di pihak yang lain pula Muhyiddin Yassin-Hadi Awang.

Gandingan dari kerajaan perpaduan ini berdepan cabaran. Anwar, seorang Islamis progresif, dan Zahid, seorang Islamis nasionalis, datang daripada tradisi politik berbeza. Bersama-sama, mereka menawarkan kerajaan yang berasaskan Islam sederhana.

Sebaliknya, gandingan Muhyiddin–Hadi lebih cenderung ke arah laluan yang lebih keras. Dalam kedua-dua kes ini, Islam kekal sebagai perkara utama dalam naratif mereka.

Namun apa yang akan berlaku apabila keempat-empat pemimpin ini akhirnya berundur? Adakah Malaysia akan terus terperangkap dalam kitaran retorik kaum dan agama sebagai cara untuk meraih undi?

Kita sangat memerlukan pilihan ketiga — dan di sinilah gandingan KJ-Ong terbit. Namun, langkah ini perlu dimulakan sekarang.

Pasukan KJ–Ong boleh menarik ahli politik lain yang berfikiran serupa, seperti Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Generasi baharu ini boleh menangkis retorik yang memecahbelahkan dan memperkenalkan naratif yang lebih progresif.

Laluan ini tentunya bukan mudah, tetapi ia perlu. Naratif progresif dapat membantu orang Melayu berasa lebih selamat sambil menyediakan platform di mana pembangunan dan kerohanian bergerak seiring.

Mungkin sesetengah pihak mempersoalkan pilihan Ong untuk berpasangan dengan KJ. Mengapa tidak bekerjasama dengan seseorang dari Pakatan Harapan, seperti Rafizi?

Jawapannya terletak pada trajektori masing-masing. KJ membina semula imejnya dan bangkit selepas pemecatan, manakala Rafizi sering kali kelihatan lebih berminat memainkan peranan sebagai pengkritik yang merungut di dalam PKR.

Pilihan Ong juga dilihat sebagai taktik. Kerjasama antara bekas Ahli Parlimen dari DAP dan Umno akan menghantar isyarat yang kuat.

Apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan, saya berharap Umno akan membina semula imej dan bekerjasama dengan DAP secara pragmatik — bukan sekadar untuk kekal berkuasa tetapi untuk membina semula Malaysia bersama bekas seteru. Namun, kemajuan dilihat tidak sekata, dengan ahli daripada kedua-dua parti sesekali kelihatan mensabotaj usaha tersebut.

Inilah sebabnya mengapa KJ perlu mempertimbangkan cadangan Ong dengan serius.

Malaysia memerlukan ideologi pasca-Reformasi — sesuatu yang melangkaui pertempuran yang memainkan retorik kaum dan agama.

Gandingan KJ–Ong boleh menjadi cahaya di hujung terowong, bagi kita yang telah bergelap selama berdekad-dekad. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.