`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 13, 2026

Ugut KP Kelantan disyaki ada kaitan lebih 100 kes lama along

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata beliau tidak takut dengan sebarang ugutan dan akan terus menyiasat dari semua sudut.

Mohd Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata beliau mengarahkan semakan semula lebih 100 kes lama membabitkan ugutan along yang diklasifikasikan tiada tindakan lanjut di peringkat daerah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Tindakan tegas membanteras sindiket pinjaman wang haram atau along dengan membuka semula siasatan lebih 100 kes lama dipercayai antara punca ugutan terhadap Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat.

Yusoff berkata, beliau mengarahkan semakan semula kes lama membabitkan ugutan oleh peminjam along yang diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) di peringkat daerah.

“Dari Januari hingga November tahun lalu saja, kami membuka semula 72 kes.

“Sehingga Disember, jumlah itu meningkat kepada lebih 100 kes selepas diklasifikasikan semula apabila dikenal pasti wujud prima facie,” katanya menurut Sinar Harian di IPK Kelantan di Kota Bharu.

Jelasnya, kes itu membabitkan mangsa diugut selepas gagal membayar pinjaman atau faedah melampau, termasuk mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, sehingga ada yang mengalami tekanan melampau.

“Bayangkan pinjam RM40,000, sudah bayar RM200,000, tetapi masih tidak selesai, zalim. Ada mangsa yang mengalami tekanan teruk sehingga timbul kecenderungan membunuh diri,” katanya sambil menambah membanteras sindiket along antara lima fokus utamanya, selain dadah dan keselamatan sempadan.

Beliau mendedahkan sindiket along di Kelantan dibawa masuk dari negeri lain yang beroperasi melalui rangkaian ‘gengster’ tempatan.

Beliau tidak menolak kemungkinan sindiket along bertindak balas terhadap tekanan berterusan polis yang mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan mereka dalam tempoh singkat.

“Saya tidak takut dengan sebarang ugutan, saya akan terus menyiasat semua sudut.”

Mengenai contengan simbol 11–2=9 di dinding pagar Lapang Sasar Menembak Kontinjen Polis Kelantan di Gunong, Bachok, Yusoff berkata, pihaknya tidak membuat sebarang kesimpulan awal kerana simbol itu mungkin sengaja dicipta untuk mengelirukan siasatan.

Minggu lalu, akhbar melaporkan empat lelaki dalam lingkungan 20-an diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ugutan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.