`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 13, 2026

Oh, mak! Dunia nak terbalik

Memang betul, dunia dah nak terbalik. Apa yang kita rasa mulia dan baik suatu masa dahulu mungkin hari ini tidak lagi.

ronasina

Hari itu ketika berada di dalam sebuah pusat beli-belah yang besar di pinggir Lembah Klang, saya dahaga dan pergi ke sebuah kiosk untuk beli sebotol air mineral. Dua orang pekerja — dalam lingkungan bawah 25 tahun barangkali, seorang lelaki dan seorang perempuan sedang leka menghadap telefon. Saya ambil sebotol dan letak di depan mereka. Yang perempuan capai dan scan botol lalu menekan keyboard. Saya scan kod bar untuk membayar. Mesin pencetak resit berbunyi dan kertas resit keluar. Si pekerja perempuan buat tak tahu sahaja sebaliknya meneruskan main telefon.

Saya tercegat lima saat. Pekerja lelaki kemudian menyiat resit dari mesin dan meletakkan di atas meja kiosk untuk saya ambil. Kemudian dia pun menyambung main telefon. Keduanya tidak hiraukan saya lagi. Saya ambil air mineral dan resit. Memandang sekejap kepada mereka dan kemudian melangkah meninggalkan kiosk tersebut.

Tahun-tahun sebelum ini pernah juga saya alami peristiwa sebegini. Di restoran, di kedai pengeposan bungkusan dan kedai-kedai lain. Saya akan sound pekerja yang melayan sambil lewa pelanggan seperti saya sehingga ada yang tersengih-sengih kalau pun tak terpempan kaget. Saya memang geram.

Bagi saya, mereka yang bekerja di kaunter depan seharusnya sentiasa mempunyai mood mesra, peramah dan bersedia untuk membantu. Sikap sombong, sambil lewa, pemalas dan acuh tak acuh amat bertentangan dengan prinsip kerja di meja hadapan. Ini menyakitkan hati. Yang peliknya, ramai mereka ini budak muda. Istilah hari ini ialah Gen Z. Budak-budak sekarang memang begini agaknya.

Saya teringat bila saudara-mara saya atau kawan-kawan datang rumah misalnya, ada anak-anak mereka yang mengikut, wajah mereka tak mesra. Bersalam pun macam terpaksa. Sepanjang masa sibuk dengan telefon bimbit. Waktu hendak balik pun salam terpaksa dengan muka mencuka walhal makan-minum kita sajikan dengan penuh keikhlasan tapi itu balasan mereka. Saya memang bengang waktu itu.

Tapi kini saya tak marah. Tak juga salahkan mereka dengan budaya baharu ini. Suatu budaya tidak jadi dengan tiba-tiba tetapi ia bermula perlahan-lahan sehingga akhirnya menjadi sebuah kebiasaan. Percaya atau tidak, dari kita lah segalanya bermula. Mereka memerhati semuanya sejak dari kecil, mencontohi dan apabila dewasa menerapkannya pula pada generasi mereka.

Budaya akan sentiasa berubah mengikut zaman. Dulu, di kampung kita tak perlukan pagar untuk keselamatan. Kemudian datanglah zaman berpagar, di era rumah kayu dipecah dan digantikan dengan rumah batu yang dianggap lebih moden. Semua nak tukar kepada rumah batu dan pasang pagar. Tak cukup dengan itu, datang pula zaman pasang loceng atau alat penggera keselamatan. Masih tak selamat. Muncul kini era berpagar dan berjaga (gated and guarded), tapi tetap tak selesai lagi. Pakai CCTV pula. Dok macam tu jugak. Akan datang apa pula? Kita tak dapat jangka lagi.

Begitulah juga dengan sikap dan amalan hidup bermasyarakat kita. Dulu kita bergotong-royong buat sawah padi dan kenduri-kendara. Anak jiran anak kita. Kita marah anak jiran yang nakal seperti marahkan anak sendiri demi nak membetulkan mereka. Kini tak boleh. Kalau cikgu marah anak kita, siaplah kita viralkan!

Sekarang kita tinggal di pangsapuri mewah. Bila bertembung dengan jiran di dalam lif, kita tunduk tak mahu pandang. Kita lebih selesa jika tak kenal sesiapa dan tak ada urusan dengan siapa-siapa. Walaupun kita berbual rancak di dalam WhatsApp group komuniti penduduk, tapi di dunia luar kita buat tak kenal. Perlahan-lahan budaya bersepakat bertukar menjadi budaya jangan campur hal orang lain. Hubungan keluarga dan persaudaraan pun hanya dalam ruang lingkup yang kita bataskan sahaja. Tak usahlah berbaik sangat dengan saudara-mara yang jauh-jauh. Anak-anak kita membesar dengan menyaksikan semua ini.

Kini anak-anak semakin dewasa dan kita pula mula menua. Teknologi pun semakin memudahkan. Apa sahaja urusan, lebih banyak dibuat di skrin. Hendak pesan makanan, tekan sahaja telefon pintar. Urus niaga berlaku tanpa perlu bertemu muka. Budak tukang hantar pun begitu. Dia ambil barang di pusat pengumpulan barang dan jalankan kerja penghantaran tanpa perlu jumpa ramai manusia. Tak payah melayan birokrasi, atau politik pejabat.

Sebab itu saya tak marah dua budak di kiosk yang saya ceritakan tadi. Mereka hanya menjalankan kerja mereka. Saya mahu beli air mineral, mereka uruskan. Selesai. Tak perlu berbasa-basi, bertanya khabar, bermanis mulut. Kita yang sudah setengah abad ini harus faham dengan zaman yang berubah. Senyum dan ramah sudah menjadi satu perbuatan yang menjengkelkan sebaliknya ‘tak payah ada komunikasi’ itulah amalan yang paling baik dan selamat pada zaman ini. Kalau senyum pun, sambutan yang diterima selalunya hambar. Jalan yang lebih baik, semua orang buat hal masing-masing.

Oh mak, oh bapak!
Dunia nak terbalik
Orang naik ke bulan
Pakai kereta lembu
Pergi bukit belacan
Mandi air susu

Itu lirik JS Kevin nyanyian kumpulan XPDC berjudul ‘Ntahapahapantah’. Memang betul, dunia dah nak terbalik. Apa yang kita rasa mulia dan baik suatu masa dahulu mungkin hari ini tidak lagi. Yang kita rasa jelik itulah yang paling selamat. Peh! Kejutan budaya juga kalau kita tak benar-benar cuba memahami. Tapi, saya rasa dunia tak terbalik secara terus mengejut begitu.

Roda kehidupan bergerak perlahan-lahan supaya kita semua tak gayat dan tak perasan bahawa putarannya makin lama makin menurun. Sehinggalah masa untuk kita tinggalkan dunia ini sampai dan generasi berikutnya hidup aman dalam dunia yang kita anggapkan sudah terbalik itu. Mereka tidak berasa apa-apa kerana itulah dunia yang mereka boleh hadap dan tangani. Orang tua pada zaman kita kanak-kanak dahulu pun kata kita generasi yang makin hilang adab tapi waktu itu kita tak fikir pun begitu. Kita rasa biasa saja. Kita boleh handle.

“Alah, orang tua tu kata kita teruk, macamlah dia baik masa dia muda dulu,” sungut kita.

Kini kita pula jadi dia, kita marah Gen Z yang makin tak ada common sense. Sekali lagi, seperti yang pernah saya tulis sebelum-sebelum ini akhirnya sama, pusing-pusing begitu jugalah. Gen Z itu sebenarnya bagi saya cuma istilah sahaja sebab yang berubah bukan kerana label atau cop, tetapi persekitaran dan suasana yang mereka lalui semasa mereka membesar itulah yang membentuk mereka kemudiannya. Ini bukan sahaja berlaku kepada kita tapi satu dunia. Petanda zaman mak cik-pak cik macam kita sudah mula terketepi. Agaknya begitulah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.