Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya minta pejabat kedutaan beberapa negara supaya sediakan senarai nama dan nombor pasport pelancong yang melebihi tempoh tinggal.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan bilangan pelancong yang masuk sepadan dengan jumlah yang keluar.
“Isu (ketidaksepadanan) ini memang banyak dipersoalkan. Pelancong masuk ke Malaysia bukan sahaja melalui ejen pelancongan, malah ada individu yang datang secara sendiri dari pelbagai negara.
“Kalau ada mana-mana pelancong tidak meninggalkan negara mengikut tempoh, imigresen mesti mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara.
Tiong menjawab celahan Senator Husin Ismail, yang membangkitkan isu pelancong yang tidak pulang dan mencadangkan ejen pelancongan bertanggungjawab memastikan pelancong meninggalkan negara mengikut jadual bagi mengelakkan ketidakseimbangan jumlah pelancong.
“Pejabat kedutaan akan menjalankan siasatan, manakala imigresen akan mengumpul senarai pelancong yang ‘overstay’, dan Motac pula akan mengenal pasti ejen yang terlibat supaya tindakan boleh diambil,” jelas beliau.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan jaminan bahawa autonomi imigresen bagi Sabah dan Sarawak akan terus dipertahankan selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata meskipun Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mula berkuasa sejak 1 Jan 2025, kuasa autonomi wilayah Borneo tidak akan terjejas.
“Di bawah Seksyen 6(3) Akta 860, AKPS diwajibkan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri Sabah dan Sarawak berkaitan kawalan individu di pintu masuk negara.
“Pelaksanaan akta baharu ini sama sekali tidak akan menghakis kuasa sedia ada kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.