Kerajaan Sabah juga sedang memuktamadkan pemerolehan 40% ekuiti dalam projek fasiliti gas asli cecair terapung, kata ketua menteri.

Beliau menyatakan kerajaan negeri juga sedang memuktamadkan pemerolehan 40% ekuiti dalam projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di Sabah.
“Insya-Allah, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam masa terdekat ini.
“Kerajaan negeri juga akan membangunkan taman-taman perindustrian baharu termasuk di Kota Belud dan hab ekonomi biru di Kudat bagi melonjakkan lagi kadar pelaburan di negeri ini sekali gus meningkatkan aktiviti rantaian ekonomi domestik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ulang tahun Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu ke-32.
Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan perkembangan itu sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas menerusi kerjasama strategik dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA).
Kerjasama itu meningkatkan pegangan ekuiti kerajaan negeri dalam penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah selain membuka lebih banyak ruang kepada syarikat tempatan untuk terbabit dalam pembangunan industri berkenaan.
Dalam pada itu, Hajiji memberitahu kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi kewangan dan peningkatan kutipan hasil negeri sebagai antara asas penting dalam memacu pembangunan Sabah.
Menurut beliau sejak 2022, kerajaan negeri berjaya mengekalkan kutipan hasil pada paras RM7 bilion setiap tahun dan beliau menjangkakan kutipan hasil negeri tahun ini akan meningkat kepada RM8 bilion.
“Pada 2025 sahaja, sebanyak RM7.6 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan direkodkan iaitu peningkatan hampir 208% berbanding 2024,” katanya.
Jelas Hajiji, pencapaian itu turut disokong oleh daya tahan ekonomi negeri dalam mendepani pelbagai cabaran domestik dan global sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.