Wanita bekerja sebagai penjaga kaunter itu kini dalam keadaan kritikal tetapi stabil di HKL.

Ketua Polis Sentul Jasni Zolpa berkata, kejadian berlaku di Taman Pusat Kepong itu dilaporkan kepada IPD Sentul menerusi talian MERS999 kira-kira 8 pagi.
“Pada 9 Ogos lebih kurang 8.00 pagi, IPD Sentul telah menerima panggilan melalui MERS999 berhubung kejadian seorang wanita berusia 62 tahun disimbah cecair yang disyaki petrol sebelum dibakar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah premis menjual nombor ramalan.
“Mangsa bekerja sebagai penjaga kaunter telah mengalami kecederaan melecur kira-kira 50% di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan.
Jasni berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak pernah menerima sebarang ancaman sebelum ini dan motif kejadian masih disiasat.
Pasukan Forensik IPK Kuala Lumpur turut hadir di tempat kejadian dan mengambil beberapa sampel DNA serta barangan berkaitan bagi membantu siasatan.
Jasni berkata, IPD Sentul telah melancarkan operasi khas bagi mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.