`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Friday, September 25, 2026

Belanjawan 2027: Persatuan minta skim insurans pekerja berkelompok dikecualikan cukai

 Cadangan pengecualian itu dapat kurangkan kos sedia manfaat insurans kepada pekerja, menurut LIAM.

Statistik menunjukkan bahawa kurang daripada separuh pekerja di Malaysia dilindungi di bawah skim insurans berkelompok, menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) meminta kerajaan mengecualikan skim insurans pekerja berkelompok daripada cukai perkhidmatan 8% di bawah Belanjawan 2027.

Persatuan itu memaklumkan cadangan pengecualian itu dapat mengurangkan kos penyediaan manfaat insurans kepada pekerja, selain menggalakkan lebih banyak majikan bertindak menyediakan serta mengekalkan perlindungan insurans untuk pekerja masing-masing.

Menurut persatuan itu, maklumat statistik yang diterbitkan menunjukkan kurang daripada separuh pekerja di Malaysia dilindungi di bawah skim insurans berkelompok, sekali gus mewujudkan jurang perlindungan yang ketara.

“Situasi ini membangkitkan kebimbangan, terutama dalam memastikan lebih banyak pekerja Malaysia, khususnya kalangan pekerja rendah dan pertengahan mendapat manfaat daripada perlindungan insurans,” kata persatuan itu menerusi kenyataan.

Liam juga menyifatkan cadangan berkenaan dapat membantu mengurangkan kos berkaitan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Langkah itu juga dapat mengukuhkan daya tahan kewangan isi rumah terhadap sebarang bebanan kewangan luar jangka akibat berlakunya kematian, kecacatan dan perbelanjaan perubatan.

“Liam percaya akses lebih meluas terhadap perlindungan penjagaan kesihatan swasta akan turut menjadi pelengkap kepada penjagaan kesihatan awam,” katanya.

“Ini membolehkan pekerja dilindungi itu mendapat rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan swasta, sekali gus membantu mengurangkan tekanan ke atas sumber-sumber penjagaan kesihatan awam.”

Pada masa sama, Liam turut menggesa agar layanan cukai bagi syarikat insurans (insurans semula) dengan domisil di Malaysia dapat disemak semula berbanding syarikat asing yang menyediakan kapasiti kemudahan itu kepada pasaran Malaysia.

Ini berikutan syarikat insurans semula dengan domisil di Malaysia tertakluk kepada cukai pendapatan Malaysia bagi keuntungan terbabit sedangkan syarikat sama luar pesisir tanpa syarikat tetap di Malaysia boleh bersaing bagi perniagaan sama di negara ini, tanpa liabiliti cukai pendapatan Malaysia yang sepadan.

“Perbezaan layanan cukai itu boleh menyebabkan hasil cukai keseluruhan yang tidak setara bagi syarikat insurans semula yang bersaing untuk perniagaan sama di negara ini, malah mungkin menjejaskan daya saing syarikat berdomisil di Malaysia,” katanya.

Liam juga menyifatkan sektor insurans semula domestik yang kukuh sebagai penting untuk Malaysia kerana dapat membantu mengekalkan kapasiti segmen itu dalam negara, memperkukuh keupayaan pengurusan risiko domestik serta menyumbang kepada daya tahan dan pembangunan ekosistem insurans tempatan.

“Sehubungan itu, Liam meminta kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah untuk menggalakkan kesaksamaan cukai lebih tinggi dan mewujudkan medan persaingan lebih seimbang antara syarikat insurans semula berdomisil di Malaysia dengan syarikat insurans semula asing.

“Ini adalah sejajar dengan objektif dasar cukai Malaysia yang lebih luas serta perkembangan percukaian antarabangsa,” kata persatuan itu.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Okt. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.