SPR berkata tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak melibatkan mana-mana kawasan ketika ini seperti dilaporkan sebuah akhbar.

Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan berkata, tiada cadangan pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak ketika ini melibatkan mana-mana kawasan seperti yang didakwa sebuah akhbar.
“SPR merujuk mengenai laporan akhbar yang memetik dakwaan bahawa berdasarkan ‘Dokumen cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak’ kononnya dikongsi kepada akhbar berkenaan bahawa jumlah bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak akan bertambah kepada jumlah tertentu.
“SPR ingin menegaskan bahawa tiada cadangan untuk pertambahan bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak buat masa ini melibatkan mana-mana bahagian pilihan raya seperti didakwa oleh akhbar berkenaan yang merujuk kepada perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Menurutnya, setakat ini hanya syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Negeri Sarawak Ke-7 disediakan dan kini sedang dipamerkan kepada orang ramai mulai 1 September hingga 30 September 2026.
“Oleh itu, SPR menyeru pihak akhbar berkenaan agar sentiasa merujuk maklumat mengenai KSP yang sahih dan tepat di portal atau kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh SPR,” katanya.
Terdahulu Berita Harian melaporkan KSP kawasan pilihan raya bagi Sarawak dijangka menyaksikan pertambahan 15 kerusi Parlimen baharu, sekali gus memastikan komposisi satu pertiga perwakilan dari negeri itu dan Sabah di Dewan Rakyat.
Menurut laporan itu, berdasarkan dokumen cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak, perkembangan itu akan menyaksikan jumlah kerusi bagi negeri itu bertambah daripada 31 kepada 46.
Ketika ini, komposisi Dewan Rakyat di Malaysia terdiri 222 kerusi membabitkan 166 kerusi di Semenanjung, manakala 56 lagi menerusi pecahan 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.
Jumlah itu hanya 25% berbanding 74 kerusi Parlimen sepatutnya ada jika mengambil kira satu pertiga seperti dijanjikan melalui MA63.
Pertambahan 18 lagi kerusi Parlimen diperlukan untuk Sabah dan Sarawak. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.