`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, July 15, 2018

Barisan Umno baru untuk pulihkan parti atau niat lain?

Umno kini berada di tahap mustahil untuk mengikis persepsi rakyat.
KOMEN
Perlantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai setiausaha agung Umno selepas tewas di tangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dalam perebutan jawatan timbalan presiden Umno menimbulkan pelbagai persoalan mengenai barisan kepimpinan parti yang baru.
Sekiranya niat Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah menyatukan Umno daripada perpecahan yang berlaku ketika pemilihan parti, bukankah lebih wajar jawatan SUA itu diberikan kepada salah seorang pencabar di kerusi presiden yang tewas, iaitu sama ada Khairy Jamaluddin atau Tengku Razaleigh Hamzah?
Jika Khairy menolaknya, jawatan itu harus diberikan kepada Tengku Razaleigh. Tapi kesiannya, kedua-duanya tidak mendapat sebarang tempat di dalam barisan Umno terbaru ini.
Turut menjadi persoalan ialah pengekalan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku pimpinan tertinggi Umno sebagai bendahari parti. Apakah keperluan Tengku Adnan dikekalkan dengan jawatan yang sebegitu tinggi sedangkan apa yang diperlukan Umno hari ini ialah pembaharuan daripada era kepimpinan Datuk Seri Najib Razak?
Dengan imej Zahid selaku presiden, Annuar sebagai setiausaha agung dan Adnan sebagai bendahari, di mana-mana ketiga-tiganya juga menjadi panglima penting Umno dengan jawatan pemangku tugas-tugas timbalan presiden, setiausaha agung dan ketua penerangan di zaman Najib, Umno kini berada di tahap mustahil untuk mengikis persepsi rakyat bahawa Umno akan berubah dan sudah belajar daripada kesilapan dalam pilihanraya umum ke-14.
Bukan itu sahaja, pelantikan bekas peguam negara Tan Sri Apandi Ali sebagai ahli majlis tertinggi turut mengundang pelbagai pandangan jelik. Di saat Apandi bertungkus lumus mempertahankan rekodnya sebagai peguam negara, perlantikan ini merosakkan segala usaha tersebut.
Rakyat dan Pakatan Harapan sebagai pembangkang dulu sering mempertikaikan keputusan Apandi yang sering berpihak pada Najib kini mendapat jawapan yang diperlukan dengan perlantikan Apandi sebagai ahli MT. Meskipun Apandi pada akhirnya menolak jawatan itu kurang 24 jam daripada perlantikan, tapi di era digital ini mengikut kata orang putih – “the damage is done”.
Mengapa jawatan-jawatan dalam Umno masih menjadi rebutan? Tengku Razaleigh dalam kempen pemilihannya pernah menyebut Umno memiliki aset bernilai bilion jika dikumpulkan dan dimanfaatkan oleh parti dan aset-aset tersebut dipercayai didaftarkan atas nama pemegang amanah yang dilantik parti. Apakah yang dikatakan Tengku Razaleigh sudah tentunya benar kerana Umno sudah berkuasa sekian lama.
Perkara itu menimbulkan persoalan apakah mereka yang berjaya merebut jawatan ini betul-betul ada azam dan pelan untuk menghidupkan Umno dan BN semula dan merampas Putrajaya daripada tangan Pakatan Harapan, ataupun mereka mempunyai niat lain? Jika niatnya adalah merampas Putrajaya, apakah barisan terbaru Umno ini mampu melakukannya? Atau misi tersebut hanyalah misi sampingan? -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.