`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Tuesday, July 31, 2018

Azalina bidas Wan Azizah elak jawab soalan nikah bawah umur

Ketua whip BN itu berkata, Wan Azizah perlu memahami akta yang boleh digunakan untuk proses siasatan, pembuktian dan pendakwaan terhadap kes perkahwinan bawah umur, bukannya meminta peguam negara menjawab soalannya.
Azalina Othman Said berkata, peguam negara bukan ahli Dewan Rakyat untuk menjawab soalannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Bekas menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dengan meminta peguam negara menjawab soalannya berhubung isu perkahwinan bawah umur.
Sebaliknya, ketua whip Barisan Nasional itu berkata, timbalan perdana menteri perlu memahami akta yang boleh digunakan untuk proses siasatan, pembuktian dan pendakwaan terhadap kes seorang lelaki tempatan mengahwini kanak-kanak warga Thailand 11 tahun, Jun lalu.
“Peguam negara bukan sebahagian daripada ahli Dewan Rakyat untuk menjawab soalan saya di sini,” tulisnya dalam Instagramnya hari ini.
Azalina berkata, beliau mencelah penggulungan Wan Azizah di Dewan Rakyat, hari ini, dengan bertanyakan pendirian serta tindakan kerajaan bagi membendung kes perkahwinan kanak-kanak daripada berulang.
Ahli Parlimen Pengerang itu membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal memberi jawapan jelas tidak menggunakan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dalam kes perkahwinan kanak-kanak 11 tahun itu sebagai isteri ke-3.
“Bagaimanapun, saya kurang jelas dengan jawapan dan pendirian yang diberikan timbalan perdana menteri kerana saya fikir kerajaan PH perlu lebih kreatif dalam menangani masalah ini seperti mana yang dibuat oleh kerajaan terdahulu, termasuk dengan mewujudkan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.”
Wan Azizah menjawab pertanyaan Azalina dengan berkata, kes itu masih disiasat dan Jabatan Peguam Negara yang akan menentukan jika tindakan boleh diambil terhadap lelaki dari Kelantan yang mengahwini kanak-kanak 11 tahun itu di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Beliau juga enggan mendedahkan keputusan pemeriksaan perubatan yang dijalankan kanak-kanak itu.
Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, mengahwini Masaryu Mat Rashid sebagai isteri ke-3 beliau di Sungai Golok, pada 18 Jun lalu, tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Narathiwat.
Peraih getah sekerap dari Gua Musang itu mengakui sebelum bernikah, beliau terlebih dahulu meminta kebenaran ibu bapa kanak-kanak itu dengan syarat mereka nikah gantung dahulu dan akan tunggu 5 tahun untuk tinggal bersama.
Pada 1 Julai lalu, Wan Azizah dilaporkan berkata, Karim disiasat di bawah elemen antun atau “sexual grooming” di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan kerajaan menganggap pasangan itu tidak berkahwin selagi tiada bukti dikemukakan.
Pada 9 Julai lalu, Karim didenda Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah terhadap 2 pertuduhan, iaitu berkahwin serta berpoligami tanpa kebenaran.
Sementara itu, Wan Azizah berkata, kerajaan PH tidak akan membubarkan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak untuk melindungi golongan itu daripada menjadi mangsa gangguan seksual.
“Saya nak jelaskan di sini, buat masa sekarang kerajaan tiada perancangan membubarkan Mahkamah Jenayah Kanak-kanak yang diperuntukkan di bawah Bahagian 4 Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya di Dewan Rakyat.
Pada 26 Julai lalu, Azalina mempersoalkan kerajaan jika berhasrat menghentikan perluasan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.
Beliau berharap kerajaan PH akan terus memberi keutamaan kepada kanak-kanak dengan meneruskan semua dasar baik yang dilaksanakan kerajaan lama dan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak yang bebas untuk memantau isu serta polisi melibatkan generasi muda.
“Kerajaan sedia mengkaji cadangan tersebut dengan melihat kesesuaian kewujudannya sebagai satu suruhanjaya bebas baru atau diletakkan di bawah Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia),” kata Wan Azizah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.