Penduduk berkata kedai ikan di Sungai Layar itu sering menawarkan harga hasil laut yang lebih murah dari harga pasaran.
SUNGAI PETANI: Kedai ikan berhadapan Masjid Al-Majidi (Masjid Kuning) Sungai Layar menjadi tumpuan ramai apabila ikan kembung dijual hanya pada harga RM0.05 sen dan RM0.30 sen seekor.
Orang ramai terutamanya penduduk di sekitar mula beratur seawal 2.00 petang apabila mengetahui maklumat mengenai jualan ikan murah serendah RM0.05 sen itu tular di laman sosial sejak semalam.
Seorang pelanggan, Noraliza Ismail, 38, dari Kampung Zainal Abidin, Bedong berkata, dia bertolak ke lokasi kira-kira 2.00 petang tadi supaya tidak ketinggalan untuk mendapatkan ikan pada harga yang murah.
“Orang ramai memang tunggu dari awal, sekejap sahaja ikan 5 sen itu habis dijual…saya sempat membeli 40 ekor ikan temenung yang dijual pada harga RM0.05 sen seekor dan 20 ekor lagi pada harga RM0.30 sen seekor,” katanya.
Menurutnya, dia sedia maklum mengenai kedai ikan itu yang sering menawarkan harga hasil laut yang lebih murah dari harga pasaran, malah sudah 5 kali berkunjung ke situ setiap kali diadakan promosi jualan murah.
Sementara itu, pemilik kedai ikan Pasar Kampung itu, Khairol Azelan Johari, 37, berkata, sebanyak 10,000 ekor ikan kembung habis dijual hari ini dengan ikan berharga 5 sen yang berjumlah 6,000 ekor habis dalam tempoh 30 minit sebaik jualan dibuka 3.00 petang tadi.
“Baki ikan tersebut dijual pada harga RM0.30 sen seekor dan habis pada 5.00 petang…Dari segi harga, ia bergantung kepada bekalan…kalau dapat murah kami tawarkan harga murah…setakat ini ikan kembung, kami pernah jual pada harga 5 sen, 10 sen dan 30 sen seekor,” katanya.
Menurutnya, bekalan ikan kembung dan hasil laut lain diperolehinya dari Kuala Kedah, Kuala Perlis, Kuala Muda dan Tanjung Dawai.
“Selain ikan kembung, kita juga buat promosi harga murah bagi udang galah (RM0.70 sen hingga RM1 seekor), ikan cencaru (RM0.20 sen seekor), bergantung kepada bekalan yang diperoleh.
“Kedai kami beroperasi setiap hari bermula 3.00 petang, tetapi waktu promosi harga murah hanya akan dimaklumkan menerusi laman sosial Facebook atas nama ‘Khairol Azelan’,” katanya.
Khairol Azelan yang berpengalaman lebih 11 tahun dalam dunia perniagaan berkata, dia akan meneruskan lagi promosi seperti itu bagi membantu meringankan perbelanjaan harian pelanggannya.
“Niat saya untuk berkongsi rezeki dan bersedekah..lagi pun ini juga salah satu cara mempromosikan pasar kampung yang beroperasi sejak 3 tahun lalu, kepada lebih ramai pelanggan.
“Cuma hari ini saya terpaksa hadkan jualan, 40 ekor seorang bagi ikan RM0.05 sen dan 20 ekor seorang bagi ikan RM0.30 sen, supaya semua pelanggan yang lama menunggu dapat membelinya…saya amat berterima kasih kepada pelanggan yang menyokong saya,” katanya. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.