`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 3, 2018

Imigresen: Kos makanan 13 depot telan RM25 juta sebulan

Mustafar Ali berkata, jumlah itu tidak termasuk kos berkaitan utiliti, pengurusan pegawai serta penyelenggaraan 13 depot Imigresen, jika pendatang haram tidak diusir terus selepas ditahan.
Mustafar Ali berkata, bahagian undang-undang akan bekerja keras bagi memastikan pendatang haram yang ditahan diusir segera tanpa melewati tempoh siasatan antara 2 hingga 14 hari.
PUTRAJAYA: Kerajaan membelanjakan lebih RM25 juta sebulan bagi menampung kos makanan pendatang haram yang ditahan di 13 depot Jabatan Imigresen di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali berkata itu antara punca utama pihaknya bertegas tidak menyambung Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Rehiring yang berakhir 30 Jun lalu.
“Jumlah itu tidak termasuk kos berkaitan utiliti, pengurusan pegawai serta penyelenggaraan depot yang tentunya memberi beban kewangan lebih besar, jika pendatang haram ini tidak terus diusir selepas ditahan.
“Kita mengambil ketetapan pengusiran segera akan dibuat, malah bahagian penasihat undang-undang jabatan juga diminta mempercepat proses berkaitan agar langkah proaktif itu dilaksanakan secepat mungkin,” katanya selepas perhimpunan bulanan jabatan itu hari ini.
Pada majlis itu, bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim diundang menyampaikan amanat bertajuk “Memperkasa Imigresen di Persada Dunia: Merealisasikan Wawasan dan Harapan”.
Mustafar berkata, hingga kini, terdapat 6,678 pendatang haram ditahan di semua depot dengan jumlah maksimun tahanan adalah 1,500 orang di Bukit Jalil dan minimum 350 orang di Bekenu, Sarawak.
Katanya, bahagian undang-undang akan bekerja keras bagi memastikan mereka yang ditahan itu diusir segera tanpa melewati tempoh siasatan antara 2 hingga 14 hari.
Dalam pada itu, beliau berkata, Op Mega 3.0 yang digerakkan selepas Program Rehiring berakhir menyaksikan 1,285 pendatang haram ditahan bersama 16 majikan.
Beliau berkata, program bermula 15 Februari 2016 itu menyaksikan 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar dengan 364,966 daripadanya diproses.
Katanya, majikan yang gagal mendaftarkan pekerja asing mereka digesa menghantar pulang pekerja terlibat menerusi Program Serah Diri Secara Sukarela (Program 3+1) bagi mengelak risiko dikenakan tindakan.
Mustafar berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Julai lalu, seramai 117,448 pendatang haram dihantar pulang melalui program itu.
Sementara itu, Rais dalam ucapannya menyarankan penggunaan nama PATI bagi pendatang asing diganti dengan istilah “pendatang haram” bagi menggambarkan keadaan sebenar golongan itu, selain mengupayakan tindakan jabatan.
Beliau berkata, walaupun agak kasar, ia amat bertepatan, apatah lagi kepada mereka yang masuk menerusi “jalan tikus” yang jelas menyalahi undang-undang negara. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.