`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 22, 2018

Menteri pengangkutan sudah hilang punca?

Kenapa menteri PH melantik bekas Ahli Parlimen BN sebagai pengerusi Mavom? Tiada pakar lain?
KOMEN
Oleh Rosli Khan
Kenapa menteri melantik bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional sebagai pengerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom)? Apakah Pakatan Harapan sudah ketandusan pakar? Tiada lagi pakar-pakar lain yang dapat dikesan atau orang orang yang cerdik pandai dalam kalangan ahli-ahli parti yang berkaliber untuk mengambil alih jawatan ini?
Atau sebenarnya menteri sudah kehilangan punca?
Sedangkan bekas Ahli Parlimen BN ini pun bukanlah pakar dalam bidang pengangkutan awam atau berpengalaman tinggi dalam bidang penerbangan awam. Melihat dari segi kelulusan dan pengalaman, beliau hanyalah mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi seperti ramai yang ada dan pengalaman beliau juga agak terhad, berkhidmat dalam bidang hartanah di Prokhas Sdn Bhd, syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Jadi, apa kelebihan beliau? Apakah jawatan ini cuma terhad kepada bekas Ahli Parlimen BN sahaja? Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Balik Pulau dari 1995-1999.
Beliau tentunya penyokong kuat BN. Kerana itulah selepas tidak dicalonkan semula untuk Parlimen Balik Pulau untuk beberapa penggal yang lalu, beliau dilantik sebagai pengarah di Khazanah Nasional, sebuah syarikat milik kerajaan dan kemudian dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif di Prokhas.
Prokhas Sdn Bhd (www.prokhas.com.my) dulunyadibentuk oleh kerajaan BN untuk mengambil alih aktiviti dan aset yang diurus dan dimiliki oleh Danaharta dan Danamodal.
Apabila PH mengambil-alih tapuk pemerintahan dan Kementerian Kewangan dipegang oleh Ahli Parlimen yang dulunya dari parti pembangkang, sewajarnya pegawai-pegawai yang berkhidmat dalam syarikat milik kementerian, seperti di Prokhas dan banyak lagi, ditamatkan perkhidmatan mereka.
Kenapa harus takut?
Ini kerana mereka dilantik oleh kerajaan BN atas dasar mereka ahli atau penyokong kuat. Sekiranya tidak, mereka tentunya tidak dipilih dan tidak dilantik.
Kerajaan PH harus berani. Ini bukan tindak-balas atau dendam. Inilah keadilan. Kerajaan PH mesti berlaku adil, pertamanya kepada ahli parti, keduanya kepada penyokong parti dan ketiganya kepada pengundi parti.
Kerajaan PH perlu tegas menangani isu ini. Menteri perlu berdepan dengan pegawai-pegawai yang mesti diganti dengan pegawai-pegawai baru yang bukan dari kalangan ahli dan penyokong BN.
Pegawai baru haruslah dari kalangan penyokong atau ahli dari komponen PH, sekiranya ada. Sekiranya tiada ahli parti yang betul-betul layak, barulah diambil dari kalangan penyokong parti dan seterusnya mereka yang mengundi PH tapi tidak menjadi ahli mana-mana parti. Tetapi jangan sesekali golongan BN. Ini paling tidak adil dan akan membawa bencana kepada kerajaan baru.
Ini harus menjadi dasar yang tidak tertulis oleh kerajaan PH. Orang perseorangan yang dilantik yang bukan dari ahli mana-mana parti politik, yang betul-betul “apolitical” dalam DNA mereka, yang sememangnya layak, harus mendapat tempat dan diperlukan oleh kerajaan sepertimana ramai pegawai kerajaan yang ada sekarang.
Ahli lembaga pengarah
Berbalik kepada Kementerian Pengangkutan, perlantikan ahli Panel Kemalangan Genting Highland yang baru diumumkan oleh menteri 2 hari lepas juga menjadi pertikaian.
Isu ini nampaknya seperti perkara biasa, iaitu perlantikan biasa dari kalangan pakar dan professional dalam bidang pengangkutan. Tetapi sedarkah menteri bahawa ahli panel ini, walaupun mendabik dada sebagai pakar, mereka juga ahli dan penyokong tegar MCA dan Umno?
Mereka ini yang dulunya rapat dengan menteri pengangkutan yang juga ketua parti MCA merasa hairan dan bertanya-tanya sesama sendiri; kenapa mereka dilantik semula sebagai ahli panel oleh menteri DAP?
Sedangkan mereka amat arif bahawa mereka dilantik dahulu itupun atas kekuatan mereka sebagai ahli komponen BN. Kalau tidak, mereka tidak akan mendapat tempat.
Menteri harus sedar sewaktu menteri MCA berkuasa dahulu, apakah ada ahli-ahli dari kalangan DAP atau mana-mana parti pembangkang yang lain dilantik menjadi pengerusi atau ahli panel di bawah Kementerian Pengangkutan?
Di bawah kerajaan BN, jangankan nak jadi pengerusi syarikat milik kerajaan, nak beri pandangan pun tak diterima kalau bukan ahli komponen BN. Semua tahu menteri-menteri BN bukan saja korup tetapi juga berat sebelah.
Lihatlah seketika dulu, siapa yang dilantik sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah untuk lembaga pelabuhan di Pulau Pinang, Klang, Johor, Kuantan, Kemaman, Bintulu dan sebagainya?
Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan menjadikan jawatan-jawatan ini habuan kepada ahli-ahli parti yang dilantik menteri. Begitu juga dengan jawatan-jawatan di pelbagai agensi lain di bawah naungan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan sebagainya.
Apakah kerajaan PH tidak mahu meniru model yang digunapakai kerajaan BN terdahulu?
Apakah PH secara dasar, sengaja tidak mahu melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah di syarikat-syarikat milik kerajaan dari kalangan ahli parti yang pakar dan para professional yang menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan?
Kalau inilah jawapannya, jadi apa gunanya ramai kalangan professional menjadi ahli parti, bertungkus-lumus siang dan malam, bekerja keras untuk kepentingan parti, tinggalkan rumah-tangga, anak-isteri demi perjuangan dan kepentingan parti; tetapi apabila berdepan dengan jawatan penting yang boleh dilantik oleh menteri-menteri Kabinet PH, jawatan tersebut diberi kepada ahli dan penyokong BN?
Sehubungan dengan isu perlantikan ini, kita juga melihat bagaimana seorang bekas pengerusi syarikat penerbangan negara yang tidak berjaya, menyebabkan banyak kerugian dan terbukti tidak mampu menangani pelbagai masalah komersil di syarikat milik kerajaan, masih dilantik menjadi pengerusi baru untuk Tabung Haji.
Inikah contoh pendekatan dan ketelusan kerajaan baru Pakatan Harapan?
Rosli Khan adalah pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.