`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 28, 2018

MERIAHLAH PROGRAM, MESYUARAT DAN KEMPEN PILIHANRAYA UMNO SELEPAS INI DENGAN BUDAK2 SEKOLAH

Dalam satu keputusan yang membuatkan kita bingung kepala, mesyuarat MT UMNO semalam memutuskan untuk menurunkan had umur menjadi ahli UMNO daripada 18 tahun kepada 16 tahun.
Bermakna, selepas ini budak-budak sekolah dalam tingkatan 4 sudah pun boleh menjadi ahli UMNO, berperanan sebagai pekerja parti, berkempen ketika pilihanraya, menghadiri atau menjadi perwakilan dalam mesyuarat cawangan serta bahagian, memenuhkan dewan bagi semua program parti serta sebagai alat mudah mencukupkan korum dalam mesyuarat.
Dalam usia yang sepatutnya mereka belajar dan menimba ilmu, tidak mustahil budak-budak sekolah ini akan diumpan oleh pemimpin dewasa dengan pelbagai janji dan harapan untuk menyertai UMNO bagi menunjukkan parti itu kononnya mendapat sambutan daripada generasi muda.
Tetapi, budak-budak sekolah itu sebenarnya hanyalah dijadikan alat oleh  pemimpin tertentu di peringkat cawangan dan bahagian untuk kepentingan politik mereka saja.
Sudah tentu akhirnya ramailah ibu bapa dan guru-guru yang akan pening kepala dibuatnya kerana lebih ramai budak-budak sekolah lebih berminat bercakap tentang politik, menyokong pemimpin tertentu, melobi menjadi perwakilan di peringkat cawangan dan bahagian berbanding mentelaah buku sekolah atau menumpu kepada peperiksaan.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, keputusan  membenarkan mereka yang berusia 16 tahun menjadi ahli UMNO ini diambil sebagai memenuhi hasrat akar umbi serta untuk memastikan perubahan dalam parti itu.
Entahlah labu…akar umbi mana sebenarnya yang mahu budak-budak sekolah seawal tingkatan 4 ini terlibat dalam politik?
Apakah Zahid Hamidi dan para pemimpinnya, sejak UMNO tidak lagi berkuasa sekarang ini, sudah hilang pertimbangan dalam membuat keputusan yang betul?
Apa pun alasannya, keputusan terbaru UMNO ini paling tidak munasabah serta tidak wajar sama sekali.
Had umur 18 tahun sebelum ini dikira sudah memadai kerana dalam usia itu mereka sudah menamatkan persekolahan di peringkat menengah atau baru habis SPM dan tiada masalah lagi jika terlibat dalam politik.
Namun, dengan seawal 16 tahun atau dalam tingkatan 4 sudah dibenarkan menjadi ahli UMNO, kesan buruk lebih banyak berbanding baiknya.
Selain ia akan merosakkan minat budak-budak sekolah terhadap pelajaran jika diumpan oleh pemimpin UMNO yang lebih dewasa untuk menyertai politik, bahkan tidak mustahil, sesuai dengan semakin menurunkan minat orang dewasa dan mereka yang berpelajaran terhadap UMNO, akhirnya nanti hanya budak-budak sekolah saja yang akan memeriahkan politik UMNO.
Mesyuarat cawangan atau bahagian, program parti, kempen pilihanraya dan sebagainya – semuanya selepas ini akan penuh dengan budak-budak sekolah belaka.
Inikah pencapaian terhebat Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO?
– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.