Tongkat Waran
Apabila beliau merasa terancam dengan sokongan rakyat kepada mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak. Antaranya kemunculan akuan bersumpah Cif Inspektor Azilah Hadri menuduh Najib membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Begitu juga dengan pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, terhadap rakaman perbualan sulit melibatkan Najib dengan beberapa individu termasuk pemimpin negara luar, sebelum siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.
Berbanding Najib, yang sudah tumbang dan tiada jawatan utama, ancaman terbesar dan ketakutannya yang sebenar adalah terhadap Anwar Ibrahim. Mahathir juga cukup sedar Anwar mempunyai hubungan baik dengan Raja-Raja Melayu dan rangkaian sokongan antarabangsa yang meluas meliputi pemimpin negara kuasa besar dan negara Islam.
Kisah Tun Dr Mahathir, Anwar dan Sodomi 4 (Bahagian 1)
Bermula sekarang hingga Mei ini, Anwar bakal berdepan serangan melalui konspirasi baru mengulangi episod sejarah 1998. Adalah tidak mengejutkan sekiranya Presiden PKR dan mantan Timbalan Perdana Menteri itu akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan salah laku seks.
Bibit-bibit ke arah itu sudah ada antaranya membuka semula siasatan bagi kes dakwaan cuba melakukan serangan seksual keatas Mohammed Yusoff Rawther (pembantu penyelidik Anwar). Perkara itu telah dibayangkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador walaupun pejabat Peguam Negara telah menutup kes tersebut kerana tiada bukti kukuh.
Malah sudah ada perancangan untuk mensabitkan Anwar dengan kes tertentu (selain Yusoff Rawther) bagi menjatuhkan reputasi beliau sebagai pemimpin tidak bermoral. Untuk menghadapi Anwar, Mahathir tetap percaya tuduhan seks sejenis adalah senjata terbaik kerana majoriti Islam menolak gejala itu. Lagipun Anwar adalah pemimpin politik tahan lasak, cekal dan tidak mudah goyah sekiranya diasak dengan serangan politik biasa.
Serangan peribadi secara keterlaluan adalah cara Mahathir, sama ada betul atau salah, itu persoalan kemudian. Yang penting, “tembak atau lontar dulu” untuk mencetuskan mudarat persepsi. Jika dalam perang, ia ibarat jeneral yang menggunakan senjata kimia untuk menghancurkan musuhnya. Tiada belas ihsan dan nilai moral sama sekali.
Dengan kuasa yang ada, Perdana Menteri mempunyai banyak kelebihan untuk menjayakan konspirasinya. Sekali lagi Anwar akan terperangkap menjadi mangsa muslihat Mahathir. Sejarah berulang lagi, cuma kali ini atas nama Sodomi 4.0? Dengan kata lain, rakyat Malaysia akan dihadapkan sekali lagi satu pusingan ganas politik, yang menjadi permainan Mahathir selama 22 tahun ketika menjadi Perdana Menteri Ke-4.
Pada usia 94 tahun, Mahathir mahu membuktikan bahawa beliau tetap hebat berpencak politik dan tidak boleh diambil mudah walaupun kedudukan politiknya rapuh. Beliau tidak mahu kalah dalam percaturan terakhirnya di puncak kuasa maka beliau sanggup melakukan apa sahaja – matlamat menghalalkan cara versi terbaru. Sisi buruk Mahathir akan terserlah lagi tetapi beliau sudah tentu bersedia dengan skrip-skrip untuk penjelasan dengan memainkan persepsi rakyat agar memihak kepadanya, sebagaimana episod 1998.
Persoalannya bilakah beliau akan bertindak ke atas Anwar? Seorang pemimpin PPBM dalam satu pertemuan tertutup telah memberi isyarat bahawa tempoh dari Februari hingga Mei adalah fasa yang bosnya (Mahathir) akan checkmate Anwar. Ini meliputi pakej langkah menjalin muafakat dengan parti parti politik pimpinan Islam iaitu Pas dan UMNO; rombakan Kabinet besar-besaran; Anwar didakwa di mahkamah atas kes cubaan Sodomi 4.0; beberapa pemimpin PH didakwa ekoran siasatan SPRM selain disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kemuncaknya – membubarkan Parlimen.
Sebelum mendakwa dan menahan Anwar, Mahathir perlu memastikan pelantikan Peguam Negara yang baru bagi menggantikan Tommy Thomas, yang tidak akan disambung khidmatnya tahun ini. Tiada lagi kelibat Tommy Thomas pada Mei ini kerana mula bercuti dan Peguam Negara yang baru telah pun dikenalpasti, iaitu anak didik kepada mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah. Nama Mohtar tercatat dalam sejarah sebagai Peguam Negara ketika Anwar didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa dan meliwat pada tahun 1998, yang mencetuskan kontroversi.
Mengapa Mahathir terpaksa menunggu Peguam Negara yang baru adalah kerana beliau tidak boleh mengawal Tommy Thomas yang dikatakan tidak mudah tunduk kepada arahan Perdana Menteri, selain dilihat menyokong Anwar. Bagi Perdana Menteri, ia satu kecacatan, yang menjejaskan agenda kuasa beliau.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.