`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 17, 2020

Mahfuz: Kementerian mahu perluas TVET ke institusi tahfiz

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata, kementerian mahu membuka ruang kepada pelajar tahfiz mengikuti latihan kemahiran di institusi di bawah KSM, sekali gus mendapat Sijil Kemahiran Malaysia.
MELAKA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan bekerjasama dengan sekolah atau institusi tahfiz dan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memperluaskan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Program Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal-Tahfiz (TVET-Tahfiz).
Timbalan Menteri, Mahfuz Omar berkata, usaha itu bertujuan membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk mengikuti latihan kemahiran di institusi di bawah kementerian, sekali gus mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar mereka mempunyai peluang lebih luas dalam sektor pekerjaan.
Beliau berkata, Program TVET-Tahfiz yang mula dilaksanakan pada tahun lepas mempersiapkan pelajar tahfiz dengan kemahiran tinggi mengikut keperluan industri ke arah menuju Revolusi 4.0.
“Kita sedang berbincang dengan semua institusi tahfiz untuk melihat apa peluang yang boleh membantu mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik melalui Program SLDN, khususnya melibatkan pelbagai industri dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis TVET-Pemacu Pembangunan Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil di sini, hari ini.
Beliau berkata syarikat Composites Technology Research Malaysia (CTRM) merupakan salah satu pihak industri yang menjalin kerjasama dengan ILP Bukit Katil menerusi tawaran kursus Juruteknik Perantisan Aeroangkasa.
Mahfuz berkata, menerusi kerjasama julung kali itu, 11 pelajar tahfiz atau huffaz dari pelbagai institusi tahfiz mengikuti kursus sepenuh masa selama 10 bulan bermula 3 Feb lepas, yang menyaksikan mereka terlibat akan mengikuti latihan 3 bulan di ILP Bukit Katil, dan 7 bulan di CTRM.
Mereka yang berjaya akan dianugerahkan SKM Tahap Dua bidang Pembuatan Komposit dan seterusnya ditawarkan bekerja di syarikat itu,” katanya.
Muhammad Arif Muhammad Nazri, 19, dari Maahad Tahfiz Addin 20, Pulau Pinang berkata, program TVET-Tahfiz dengan CTRM memberi peluang kepadanyanya untuk mempertingkat dan mempersiapkan kemahiran diri yang berminat menjadi seorang juruteknik.
“Ia memberi 1lagi nilai tambah pada saya kerana selain mampu menghafal Al-Quran, saya juga belajar kemahiran lain sebelum memasuki alam pekerjaan. Keluarga juga beri sokongan untuk ikuti program ini,” kata anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu.
Irfan Naim Mohd Khairiri, 19, dari Tahfiz Faridatus Syahadah, Ipoh, Perak pula berkata, menerusi program itu beliau mempunyai peluang atau akses mudah untuk menceburi bidang aeroangkasa khususnya di bawah CTRM.
“Saya hanya perlu mendapatkan SKM Tahap Dua untuk membolehkan saya bekerja dalam bidang yang saya inginkan dan ia sekali gus menyediakan peluang pekerjaan lain, khususnya dalam bidang kemahiran tinggi,” kata anak sulung daripada 3 beradik itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.