Semakin dewasa, apatah lagi kalau semakin tua, cakap seseorang biasanya lebih mudah untuk dipercayai.
Ini kerana dengan kedewasaan dan ketuaan, seseorang itu menjadi semakin matang dan banyak memikirkan perasaan orang lain berbanding ketamakan diri sendiri.
Untuk itu, mereka akan bercakap dengan berhati-hati, menyelitkan hanya fakta yang boleh dipercayai serta berjanji sesuatu yang boleh ditunai atau dilaksanakan saja.
Adalah malang sebenarnya dalam kehidupan ini jika semakin seseorang dewasa atau tua, kata-katanya semakin dicemuh dan janji tidak lagi dipercayai.
Tetapi, itulah yang mahu tidak mahu, harus kita akui sedang berlaku kepada Tun Mahathir Mohamad sekarang ini.
Berikutan hujahnya yang banyak berdalih daripada melaksanakan janji manifesto, diikuti dengan terlalu berdolak-dalik berhubung janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, Tun Mahathir kini menjadi orang yang paling tidak dipercayai kata-katanya di negara ini.
Kata-kata Tun Mahathir bahawa Buku Harapan yang mengandungi janji manifesto bukanlah sebuah kitab suci yang wajib ditunaikan, pada hakikatnya benar-benar mengguris hati rakyat setelah mereka memberi kemenangan kepada PH dan meletakkannya sebagai Perdana Menteri semula.
Lebih terluka hati rakyat dibuatnya apabila beliau juga mengatakan janji-janji itu terlalu sukar dilaksanakan kerana ia dirangka dalam keadaan PH tidak menyangka akan mencapai kemenangan dan mampu menumbangkan BN.
Adakah begitu tahap kata-kata yang sepatutnya daripada seorang yang ada pengalaman menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini?
Diburukkan lagi ialah apabila Tun Mahathir juga terus berdolak-dalik berkenaan janji peralihan kuasa, walaupun tidak pernah lupa menyelitkan ayat akan tetap mengotakan janjinya itu.
Kepada rakyat, jika benar akur kepada janji, mengapa cakap Tun Mahathir tidak pernah konsisten dan berubah-ubah serta sentiasa membuka ruang kepada elemen yang boleh menggagalkan peralihan kuasa itu?
Sebab itu, selain orang-orang Melayu sendiri mula menolak dan mempertikaikan Tun Mahathir, orang bukan Melayu juga secara terbuka tidak lagi suka kepadanya.
Pengundi dan peniaga Cina yang sebelum ini rata-rata menyanjung tinggi Tun Mahathir, sekarang ini boleh dikata 90 peratus sudah jadi benci kepadanya.
Hujah kebencian mereka itu tidak lain ialah kerana dalam tempoh 20 bulan ini beliau didapati lebih banyak bermain politik dan mencatur politik daripada menguruskan soal ekonomi serta menyelamatkan negara.
Bagi kaum Cina, janji Tun Mahathir sebelum PRU14 lalu di mana mengatakan matlamatnya menjatuhkan Najib Razak bagi menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi hanyalah auta belaka.
Dalam isu yang peralihan kuasa yang terus berlarutan pula, daripada berjanji dua tahun, Tun Mahathir telah mengubahnya sendiri kepada November iaitu sehingga selesai Sidang Apec 2020.
Sekali lagi, janjinya ini juga tidak dipercayai oleh rakyat jelata dan ini adalah sesuatu yang malang bagi seseorang yang setua 95 tahun usianya.
Di mana-mana terdengar rakyat bersuara bahawa ini hanyalah helahnya untuk terus berkuasa dengan lebih lama atau sementara muncul muslihat baru untuk mengelakkan peralihan kuasa itu.
Untuk itu, sementara ada yang mendesak agar tarikh khusus serah kuasa segera dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari ini, tidak kurang yang mahukan janji itu tetap ditunaikan pada Mei dan bukannya November.
Tetapi, dalam keadaan kepercayaan rakyat kepadanya kian merosot dan cakapnya lebih banyak tidak dipercayai, Tun Mahathir setidak-tidaknya dapat menjadikan dirinya dihargai semula jika sedia kembali kepada janji asal iaitu Mei sebagai muktamadnya beliau berundur dan melakukan peralihan kuasa.
Bukankah penghargaaan sesuatu yang lebih penting untuk ditinggalkan selepas kematian?
-https://shahbudindotcom.net/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.