`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 16, 2020

Keluarga Adib mahu mulakan tindakan sivil terhadap polis

Peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata, keluarga Adib akan memfailkan saman menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis mengawal keadaan pada hari kejadian yang kemudiannya menyebabkan kematian beliau.
PETALING JAYA: Peguam mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim berkata, pihaknya berpegang pada pandangan sebelum ini bahawa punca kematian anggota bomba itu akibat dipukul dan ia selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner 27 September 2019.
Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata, kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador bahawa sehingga kini masih tidak ada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar menyatakan melihat Adib dipukul sebagai bercangah dengan dapatan Mahkamah Koroner.
“Kami masih berpegang kepada pandangan sebelum ini (bahawa Adib dipukul) .Tindakan ketua polis negara adalah bercanggah dengan dapatan koroner dalam inkues,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas kenyataan terbaru KPN berhubung status kematian Adib.
Kamaruzaman berkata, pihak keluarga juga akan memulakan tindakan sivil terhadap polis.
“Kami akan mulakan tindakan sivil terhadap polis dalam masa terdekat. Saman ini bagi menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis mengawal keadaan pada hari kejadian yang kemudiannya menyebabkan kematian Adib,” katanya sambil memaklum perbincangan dengan pihak keluarga juga sedang berjalan.
Isnin lalu, Abdul Hamid berkata, sehingga kini masih tidak ada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar melihat Adib dipukul.
Abdul Hamid berkata, kesemua keterangan yang diperoleh pihaknya adalah bersifat dengar cakap dan juga pendapat.
Bagaimanapun katanya, usaha-usaha mengenal pasti pelaku jenayah masih dijalankan, jika ada.
“Beberapa isu perlu disiasat dengan lebih lanjut ekoran daripada keputusan inkues yang mengatakan Adib dipukul dan diserang oleh 2 orang atau lebih.
“Sekiranya benar berlaku serangan seperti yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan pendapat seorang pakar, pastinya wujud kesan serangan.
“Pasukan siasatan masih lagi memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar atau sebarang petunjuk yang akan memungkinkan tangkapan,” kata Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
Abdul Hamid menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan bahawa polis tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.
“Tidak ada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat. Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan dan dapatan terkini. Ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues,” katanya.
Pada sidang media 10 Julai lalu, Abdul Hamid juga berkata, lanjutan keputusan inkues itu, siasatan dijalankan dengan memanggil semula kesemua 30 orang saksi yang terlibat semasa siasatan inkues.
Selain itu, 52 saksi baru direkod percakapan oleh pihaknya.
“Siasatan juga dibuat dengan memanggil 2 orang pegawai bomba yang berada di tempat kejadian berhampiran dengan arwah.
“Tetapi pegawai terbabit secara konsisten mengatakan tidak nampak orang yang memukul arwah. Jadi, tiada keterangan yang dapat mengaitkan arwah dibunuh.
“Pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) juga sudah hadir dirakam percakapan dan memperakui arwah Muhammad Adib tidak dapat berkomunikasi secara efektif,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, 10 Julai lalu.
Abdul Hamid berkata, pihaknya juga mengambil semula keterangan salah seorang saksi dalam perbicaraan inkues yang mendakwa melihat Adib dipukul.
Bagaimanapun katanya, ketika keterangan direkodkan beliau memberitahu perkara sebaliknya.
Polis akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menubuhkan pasukan petugas bagi meneliti testimoni pakar pathologi berhubung kematian anggota bomba itu.
Mahkamah Koroner pada 27 September tahun lepas memutuskan Adib menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November 2018.
Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar inkues kematian anggota bomba itu memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang prosiding. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.