`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 25, 2022

Bagi Sabah, Sarawak, kehendak politik lebih penting daripada jawatan TPM, kata penganalisis

 

Rahezzal Shah Abd Karim berkata, memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak menguruskan sendiri peruntukan pembangunan bagi Malaysia Timur lebih baik daripada tawaran jawatan timbalan perdana menteri untuk Sabah dan Sarawak.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis berkata, Sabah dan Sarawak mengutamakan kehendak politik di peringkat kerajaan pusat yang menjanjikan pendekatan polisi inovatif bagi menyelesaikan masalah rakyat Malaysia Timur, bukannya jawatan timbalan perdana menteri (TPM).

Pensyarah Universiti Teknologi Mara Sabah, Rahezzal Shah Abd Karim berkata, cadangan jawatan TPM merupakan penghormatan kepada dua negeri itu, namun ia hanya bersifat simbolik, jika mengambil kira kuasanya dalam kerangka sedia ada.

“Sudah tiba masanya kita bergerak melangkaui simbolik dan menawarkan sesuatu yang benar-benar mampu memberi impak bermakna. Sekiranya parti-parti yang bertanding boleh menawarkan jawatan, mengapa tidak ditawarkan penyelesaian polisi?

“Sebagai contoh, parti-parti yang bertanding mungkin boleh menawarkan 5% hasil cukai yang dipungut dalam Sabah dan Sarawak untuk tahun pertama dan disemak kadar itu selepas setahun melalui perbincangan bersama.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Ataupun memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengurus sendiri melalui penurunan kuasa semua perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, cadangan tiga jawatan TPM mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan dimasukkan dalam manifesto BN dan ia bakal diwujudkan, jika gabungan itu menang dominan dalam pilihan raya umum ke-15.

Susulan itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Alexander Nanta Linggi hari ini berkata, cadangan itu perlu mempunyai kuasa untuk meluluskan projek pembangunan atau peruntukan tertentu demi kepentingan rakyat Malaysia Timur kerana kuasa lebih signifikan daripada jawatan semata-mata.

Rahezzal berkata, kekuatan jawatan TPM bergantung kepada portfolio yang disandang.

“Dahulu, ketika BN memerintah, jawatan TPM kebiasaanya dipegang timbalan presiden Umno dan ketika itu, ia dianggap prestij dan berkuasa kerana sesiapa sahaja yang berada di kerusi tersebut dianggap sebagai bakal perdana menteri.

“Namun, kita perlu faham, sekuat mana pun jawatan TPM di era BN, kuasa TPM dalam kerajaan secara realitinya hanya terhad kepada portfolio kementerian yang dipegang dan paling penting sekali, kuasa yang ada pada TPM pun setakat mana yang PM inginkan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.