`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, October 24, 2022

Genius politik yang kita lupakan

 

Di mana-mana tempat ada manusia, maka di situ juga lah ada politiknya. Politik negara, politik setempat, politik pejabat, politik di masjid, dalam bidang seni mahupun bidang sukan pasti ada permainannya kerana ia melibatkan operasi. Untuk berfungsi, penggeraknya mesti mempunyai jawatan. Jawatan bermaksud seseorang yang diberi kuasa penentu.

Untuk duduk di jawatan yang menjanjikan kuasa inilah akan ada dramanya. Di situlah manusia mengatur rancangan politik dalam usaha mencari pengaruh dan melebar kuasa. Berpolitik mesti bijak. Tetapi bijak bagaimana seseorang pemimpin bermain politik yang kita banggakan? Ikon politik seperti siapa yang wajar kita angkat?

Sewaktu beberapa teman heboh bercerita dan mengulas perlawanan bola sepak piala kegemaran mereka dengan aksi-aksi serta jaringan menarik, saya menyampuk bertanya siapa yang lorongkan bola kepada penjaring gol tersebut sehingga pasukan itu beroleh kemenangan? Ternyata beberapa daripada mereka gagal menjawab melainkan yang betul-betul ikutinya sebagai pemerhati tegar.

Memang dalam banyak hal kita selalu lupa siapa di belakang yang mendorong kejayaan lantaran terlalu memuja si pelaksana. Kita hanya nampak yang di depan sahaja. Siapa si pintar sebenarnya yang mencorak segala gerakan sehingga pasukan itu menang tidak kita fikirkan. Tanpa si “genius” ini, belum tentu sang pelaksana mampu menyudahkan misi. Kita terlepas pandang dengan si pintar itu yang sepatutnya kita angkat sebagai wira. Itulah sikap kita.

Untuk kita renungkan hal ini, ayuh kita kembali kepada sejarah kepahlawanan bangsa kita. Hang Tuah bagi orang kita merupakan seorang tokoh adiwira ulung. Kita kagum dan bangga dengan pakej yang dimiliki Tuah walaupun kita langsung tidak ada kepandaian sepertinya. Ketangkasan dan keberanian, kesetiaan dan kebijaksanaan yang ada pada Hang Tuah sehingga masyhur di seluruh nusantara cukup kita agung-agungkan.

Cekap bertikam, pandai memikat, fasih berbagai bahasa yang mana kita sendiri tidak berminat mencontohinya. Bagi orang kita, sejarah Melayu adalah Hang Tuah dan Hang Tuah adalah sejarah Melayu. Hang Tuah kita angkat juga sebagai ikon politik kerana keperibadiannya. Dalam parti politik sering kita dengar nama Hang Tuah disebut untuk mengaitkan dengan sifat kesetiaan.

Kemudian bila diajukan kepada kita Hang Jebat kita terpempan sekejap. Baiklah, Hang Jebat juga adiwira kita. Lambang keberanian berkata benar, sanggup bangkit menentang arus sebagai pembela walaupun berdepan risiko dilabel penderhaka. Dalam pertembungan Tuah dan Jebat, ramai kemudiannya memilih untuk menyokong Jebat dan menganggap kesetiaan Tuah kepada Sultan melulu. Bukan derhaka Jebat yang semberono tetapi kesetiaan Tuah itulah yang membabi buta.

Namun begitu, secara keseluruhan kes tersebut sedikit pun tidak melunturkan pemujaan kita kepada Tuah. Siapa yang mempertikaikan Hang Tuah sama ada wujud atau tidak pun kita tak boleh terima dan sanggup bertakik. Tetapi Hang Jebat juga dianggap adiwira ulung dalam politik. Hang Tuah dengan kesetiaan manakala Hang Jebat simbol ketegasan.

Ketika istana Melaka semakin kalut akibat konspirasi peringkat tertinggi, kita terlupa satu sosok hebat yang memainkan peranan penting dalam mengendurkan perang tiga segi Tuah, Jebat, dan Sultan. Sosok hebat inilah yang paling pening kepala untuk menghadapi Sultan, Tuah, dan Jebat. Ya, tak lain tak bukan Datuk Bendahara. Si “genius” inilah yang berusaha keras menangani krisis politik tersebut dengan penuh waras lagi matang.

Apa akan jadi jika Datuk Bendahara tak pintar? Tentu Datuk Bendahara pening apabila hasad dengki para pembesar semakin menebal terhadap Tuah sehingga berlakunya acum dan fitnah. Jika Datuk Bendahara berperangai seperti Hang Tuah, sudah tentu apabila Sultan memerintahkan beliau menghukum Hang Tuah, sekejap sahaja perintah tersebut siap dilaksanakan. Jika Datuk Bendahara berperangai seperti Hang Jebat, bayangkan apa tindakan beliau terhadap Jebat ketika Jebat mengamuk mencabut takhta Sultan sehingga memaksa Sultan bersembunyi di rumah Datuk Bendahara? Tentu lagi haru-biru dan kacau-bilau bila keras bertemu keras.

Maka itu, sesuai dengan kedudukan Datuk Bendahara sebagai perdana menteri, kesetiaan melulu bukan prinsipnya sebaliknya sebagai pembesar berwawasan beliau mesti memandang jauh. Segala buruk dan baik mesti dipertimbangkan, sebab dan akibat mesti dikenalpasti, menarik rambut jangan putus sementara tepung tidak boleh berselerak. Datuk Bendahara mesti kasyaf. Mesti nampak apa yang bakal berlaku akan datang.

Kepintaran luar biasa Datuk Bendahara tak terjangkau dek sesiapa hatta Sultan, Tuah, dan Jebat sekalipun. Inilah sifat tulen seorang perdana menteri. Bukan mendengar cakap-cakap menghasut, mengampu, dan membodek. Perdana menteri mesti pintar mengambil kira semua kedudukan supaya selamat, sambil itu kena juga mencongak kedudukan diri sendiri yang terancam agar terpelihara.

Politik hari ini begitulah sepatutnya. Demi kuasa, kita dapat lihat ada tokoh bijak sama ada dalam parti atau juga berjawatan menteri kerajaan “dipancung” karier hanya kerana pihak yang sedang duduk di atas berasa tergugat. Sering kita lihat mereka yang bijak ini tidak punya tempat dalam politik, idealisme, dan gagasannya tidak disambut lantaran kelemahan sendiri – hanya punya geliga tetapi tidak pandai bersilat politik. Idea serta wawasan mereka menakutkan beberapa pihak maka seperti Hang Nadim, si bijak ini mesti ditendang. Akibatnya kita semua rugi.

Saya tidak bercadang untuk menyebut nama-nama beberapa tokoh cerdik bestari lagi berkepimpinan tinggi yang hilang dari radar politik tetapi dek kerana sikap kita sendiri yang terikut rentak tarian politik maka dengan mudah kita melupakan mereka. Saya sarankan agar kita semua semak nama-nama si bijak ini tanpa ada sentimen kepartian yang totok. Mereka inilah perlu kita angkat. Jangan kita pinggirkan seperti kita menenggelamkan kehebatan Datuk Bendahara ketika menimang Tuah dan Jebat.

“Betullah! Hebat betul Tun Perak,” ujar kawan saya.

“Tun Perak? Biar betul. Bukan Tun Perak. Lain,” jawab seorang lagi.

“Kejap aku ‘Google’! Eh… tak ada pun disebut nama Tun Perak sebagai Bendahara dalam peristiwa tu?”

Kita tak tahu, tak pasti, dan tak pernah ambil berat. Dari dahulu, hari ini, dan mungkin sampai bila-bila kita malas untuk merenung dan berfikir dari segenap sudut. Bukan dalam hal Bendahara ini sahaja tetapi dalam banyak perkara dan aspek. Kita hanya nampak yang menonjol sahaja tetapi tidak nampak siapa yang benar-benar melaksanakan peranannya. Begitulah kita! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.