`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 22, 2022

Kalau lah Zahid tak bertanding

 

Kata Zahid Hamidi, beliau “belum terniat” untuk tidak bertanding di Bagan Datuk. Maksudnya presiden Umno itu akan mempertahankan kerusi Parlimen yang beliau menang sejak 1995, dari PRU9 hingga PRU14. Satu pencapaian cemerlang.

Zahid menafikan laporan bahawa beliau tidak akan mempertahankan Parlimen Bagan Datuk pada PRU15 ini.

Sinar Harian melaporkan 21 Okt lalu, “pemimpin berusia 69 tahun itu membuat keputusan besar tersebut sebagai satu pengorbanan agar nama dan isu yang menyelubungi dirinya tidak dijadikan modal kempen lawan…”

Menurut Sinar Harian, ia difahamkan tempat Zahid akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurulhidayah, atau pun orang kanan beliau sendiri.

Dengan penafian Zahid, maka Tawfik Ismail akan meneruskan hasratnya menentang Zahid di Bagan Datuk atau mana-mana kawasan Zahid bertanding? Apabila laporan spekulasi Zahid tidak bertanding disiarkan, reaksi Tawfik ialah beliau juga tidak menyertai PRU15 kerana “misi saya ialah untuk menghalang Zahid daripada menjadi Ahli Parlimen dan layak jadi perdana menteri.”

Walaupun tahu politikus kerap sembunyi maklumat kerana tidak mahu bocor strategi kepada lawan, saya tidak ada sebab meragui penafian Zahid.

Tetapi ingin saya membuat spekulasi jika Zahid benar-benar tidak bertanding PRU15 apa yang untung dan merugikan beliau. Sekadar untuk “stretch the imagination”.

Pertamanya, Parlimen Bagan Datuk kemungkinan besar kekal di tangan Umno-BN. Oleh itu Umno tidak rugi. Kata seorang bekas aktivis Umno di Perak, kawasan itu majoriti Melayu kampung yang kenal rapat dengan Zahid dan keluarganya. Juga kebanyakan penduduk keturunan Jawa yang ada hubungan kekeluargaan.

Calon yang direstui Zahid akan mudah diterima pengundi di kawasan itu – sama ada anaknya atau orang kanannya. Namun anak beliau pernah membuat komen dan kenyataan masa lalu yang tidak disenangi ramai termasuk orang Umno sendiri.

Kedua, Zahid tidak bertanding bagi saya satu strategi bijak. Bagan Datuk masih dalam genggaman menerusi proksi. Tidak menjadi Ahli Parlimen bukan masalah besar kerana beliau kekal presiden Umno. Jika Umno-BN berjaya tubuhkan kerajaan maka jawatan perdana menteri pasti milik orang Umno.

Dalam parti semua akur kepada presiden, termasuk orang yang jadi perdana menteri. Zahid akan jadi kuasa di belakang takhta. Semua calon Umno yang bertanding pilihan beliau. Kuasa menyerah watikah milik presiden. Beliau boleh pastikan orang yang beliau berkenan jadi calon. Jika menang merekalah menguasai kerajaan. Zahid boleh “call the shots” dari luar.

Ketiga, beliau akan disanjung sebagai pemimpin yang berkorban demi parti. Faktor ini ada dilapor oleh Sinar Harian memetik sumber.

Zahid pada 23 September lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara atau VLN. Walaupun bebas Zahid dilihat sanggup melepaskan terus peluang untuk bertanding pilihan raya yang beliau boleh menang untuk menjaga nama Umno dan mengelak parti diserang kerana kesnya.

Beliau juga dianggap membuktikan tidak ada niat hendak menolak Ismail Sabri Yaakob dan rampas jawatan perdana menteri. Mesej utamanya “aku tidak tamak”.

Pengorbanan seperti itu semua amat disukai orang Melayu. Sebagai politikus bepengalaman Zahid tahu apa yang Melayu suka, apa yang Melayu benci, dan apa yang Melayu takuti.

Bagaimanapun bukan semua madu dan penawar. Zahid masih berdepan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, dakwaan rasuah, dan pengubahan wang haram melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Selain itu satu masalah yang boleh timbul akibat beliau berada di luar kerajaan (andai Umno-BN memerintah) ialah perdana menteri – orang bawahannya dalam parti – boleh mencabar beliau untuk merebut jawatan presiden apabila pemilihan parti diadakan kelak.

Benar sekarang pun beliau berada diluar kerajaan tetapi kedudukannya sebagai presiden tidak boleh dicabar kerana pemilihan parti sudah ditangguh. Pindaan perlembagaan parti memperuntukkan pemilihan Umno akan diadakan sekurang-kurangnya enam bulan selepas PRU.

Oleh itu, enam bulan selepas PRU15, Zahid boleh dicabar. Walaupun selaku penyandang beliau punya kuasa dan kelebihan. Pun begitu dua unsur penting itu juga dimiliki sesiapa yang memegang jawatan perdana menteri yang mencuba duduk kerusi presiden.

Satu lagi faktor: Dengan tiadanya Zahid di pentas PRU15, kemenangan moral diperolehi anak timbalan perdana menteri ke-2 Tawfik, yang mencorak dirinya sebagai pembawa aspirasi rakyat menentang rasuah.

Namun semua yang tulis ini tidak akan berlaku. Spekulasi sekadar spekulasi kerana Zahid sudah menafikan laporan beliau tidak akan bertanding di Bagan Datuk. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.