`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 15, 2022

KPDNHEP lancar 3 logo baharu barangan buatan Malaysia

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi menyeru rakyat membudayakan amalan membeli barangan Malaysia bagi merancakkan lagi kitaran ekonomi.

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan tiga kategori penandaan logo barangan Malaysia yang baharu sebagai usaha membantu produk tempatan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi, berkata kategori berkenaan adalah produk Malaysia, buatan Malaysia dan rekaan Malaysia yang bertujuan memberi peluang kepada lebih banyak syarikat memohon pengiktirafan penandaan logo barangan Malaysia, yang dikuat kuasa 1 Nov.

Jelasnya, penandaan logo itu akan menjadi pemangkin serta nilai tambah dan jaminan kualiti produk tempatan yang perlu melalui ujian saringan kualiti serta pembungkusan.

“Ini juga secara tidak langsung mewujudkan permintaan terhadap bahan mentah utama yang dikeluarkan dalam negara dan seterusnya meningkatkan aliran tunai dalam ekonomi domestik.

“Kita menyasarkan lebih banyak barangan tempatan berkualiti dengan penampilan pembungkusan menarik dapat dihasilkan supaya produk kita dapat berdiri sama tinggi dengan produk antarabangsa dan tidak lagi perlu bergantung kepada produk luar negara serta mengurangkan pengaliran wang kita ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 sempena Karnival Beli Barangan Malaysia di pekarangan Angsana Mall Johor Bahru, semalam.

Dalam ucapannya itu, Nanta turut menyeru orang ramai membudayakan amalan membeli barangan Malaysia bagi merancakkan lagi kitaran ekonomi.

“Kalau tidak kita, siapa lagi? Impaknya akan melimpah merancakkan kitaran ekonomi negara serta meningkatkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.

“KPDNHEP juga berharap agar Keluarga Malaysia dapat turun beramai-ramai memeriahkan Karnival Barangan Malaysia 2022 di samping menyokong produk serta usahawan tempatan, secara tidak langsung menyegerakan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

KBBM2022 di Johor Bahru yang berlangsung tiga hari sehingga 16 Okt menghimpunkan seramai 127 pempamer yang terdiri dari pengusaha barangan tempatan termasuk syarikat gergasi.

Antaranya Petronas, Proton, Perodua, Modenas serta rakan strategik KBBM yang lain termasuk Shopee, Lazada, PG Mall, Go Go Pasar, Shoppymore dan sebuah syarikat kreatif Les’ Copaque. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.