`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 14, 2022

Murid patah kaki dihempas: Ibu lega guru Kafa didakwa

 

Ahmad Mursyidin Abdullah mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mengangkat dan menghempas muridnya yang berusia sembilan tahun itu ke atas kerusi kayu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ibu kepada murid lelaki yang didakwa dihempas atas kerusi sehingga patah kaki oleh guru kelas agama dan fardhu ain (Kafa) lega kes yang menimpa anaknya sudah dibawa ke mahkamah.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Azlina itu berkata, besar harapannya agar prosiding di Mahkamah Majistret Marang itu akan merungkai apa sebenarnya yang berlaku, sekaligus memberikan keadilan buat anaknya.

“Biarlah anak saya jadi ‘stop button’ untuk kanak-kanak lain supaya tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, media melaporkan Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, mengaku tidak bersalah setelah tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Guru itu didakwa dengan sengaja mengangkat dan menghempas anak muridnya yang berumur sembilan tahun, di atas kerusi kayu di sebuah sekolah rendah pada 4.15 petang, 6 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 17 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding selain tidak boleh terlibat dengan jenayah.

Susulan pendedahan kejadian itu, mangsa dan Azlina menjadi mangsa kecaman warganet, kononnya kanak-kanak itu mungkin nakal dan tidak mendengar kata, malah Azlina dituduh tidak mendidik anaknya dengan betul.

“Semoga prosiding ini berjalan dengan adil dan semoga kebenaran terungkai,” katanya ringkas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.