PETALING JAYA: Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta setiap bahagiannya menyemak senarai daftar pemilih susulan peningkatan mendadak jumlah pengundi baharu dalam tempoh dua tahun.
Ketua Penerangannya, Joniston Bangkuai, berkata setiap bahagian perlu proaktif menyemak daftar pemilih untuk mengenal pasti pengundi baharu.
“Kumpul dan laporkan penemuan ini kepada ibu pejabat parti supaya kita mempunyai asas untuk mengambil langkah seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini melaporkan peningkatan 574,120 pengundi baharu di Sabah antara 2018 hingga 2020.
SPR memberitahu, peningkatan pengundi baharu itu tiada kaitan dengan inisiatif Undi18 yang berkuat kuasa pada 15 Dis tahun lalu.
Joniston berkata, peningkatan mendadak lebih setengah juta pengundi baru sejak pilihan raya negeri lalu itu adalah alasan kuat untuk menyemak senarai daftar pemilih itu.
Katanya, ia juga menambahkan lagi kebimbangan parti mengenai kemungkinan wujudnya pengundi tidak sah dalam pendaftaran pengundi automatik.
Tambahnya, PBS akan melihat laluan perundangan untuk mendapatkan data berkaitan bagi meneliti peningkatan mendadak pengundi berdaftar itu.
Presiden PBS, Maximus Ongkili sebelum ini berkata, parti itu menyokong pendaftaran automatik mereka yang berusia 18 tahun sebagai pengundi tetapi meminta ia tidak dilaksanakan di Sabah sehingga senarai daftar pemilih sedia ada disemak dan disahkan sepenuhnya.
Langkah itu, katanya, kerana terdapat laporan dan aduan mengenai pengundi yang meragukan dalam pilihan raya sebelum ini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.