`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, October 19, 2022

Serangan hala ke lawan, jangan tembak kaki sendiri, pesan Ismail

 

Ismail Sabri Yaakob menghantar mesej kepada ahli BN supaya sedar dan kenal ‘siapa lawan dan kawan’ dalam PRU15 agar jelas siapa yang perlu ditentang.

BANDAR BAHARU: Pada program solidariti Barisan Nasional (BN) di Kedah hari ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menghantar mesej kepada ahli BN untuk sedar dan kenal “siapa lawan dan kawan’ dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) agar jelas siapa yang perlu ditentang.

Dengan mengenal pasti lawan BN untuk PRU15 yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), Ismail yang juga naib presiden Umno berkata, serangan seharusnya dihalakan ke arah pihak lawan, bukannya “tembak kaki sendiri”.

“Jangan tembak kaki sendiri, kita dah tahu nak lawan siapa…serang mereka,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran peringkat Kedah di Dataran Serdang, di sini.

Turut hadir Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, Ketua Umno Kedah, Jamil Khir Baharom, selain pemimpin komponen BN serta masyarakat setempat.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ismail berkata, segala faedah ke atas rakyat yang diumumkan dalam Bajet 2023, sebaiknya digunakan ahli BN sebagai bahan untuk menghadapi PRU15.

“Beritahu rakyat, tak lama lagi manifesto parti-parti lain akan keluar…tetapi manifesto hanya janji, jangan sampai dua kali kena tipu,” katanya.

Ismail memuji Zahid “berjiwa besar” kerana mengumumkan beliau sebagai perdana menteri selepas PRU15 serta mengajak ahli BN, terutama di peringkat pemimpin dan bakal calon PRU15 turut mencontohi sifat sama.

“Kita kena berjiwa besar, saya nak beritahu orang paling berjiwa besar ialah presiden (Zahid). Apabila saya jadi perdana menteri dia sokong, baru-baru ini dia umum calon perdana menteri ialah Ismail Sabri, (ini) datang dari mulut presiden kita, saya ucapkan terima kasih.”

Ismail mengakui pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN dan parti mesra BN (Friends of BN) bukan perkara mudah, terutama di negeri yang mana Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan seperti di Kedah.

“Kalau ada satu Parlimen, dua DUN bolehlah bahagi-bahagi, tetapi di Kedah ini, DUN belum dibubarkan. Bila belum bubar, kita boleh janji kau nanti akan dapat DUN, tetapi tak tau mereka akan percaya kepada janji atau tidak.

“Akhirnya berebutlah kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan…inilah yang saya risaukan.”

Ismail mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt lalu untuk memberi laluan kepada PRU15, selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pahang, Perlis dan Perak sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri dan persekutuan dilaksanakan serentak.

PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah masing-masing tidak membubarkan DUN, selepas ia dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Okt lepas.

Pakatan Harapan (PH) pada 15 Okt lalu turut memutuskan tidak akan membubarkan tiga DUN di bawah pentadbirannya, iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.