`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 23, 2022

Perang Tambun

 

Pada 2018, Pakatan Harapan menamakan Johor sebagai negeri barisan depan bagi mencetus perubahan politik menerusi PRU14. Langkah itu memeranjatkan kerana Johor kubu kuat Umno yang dianggap ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional.

Untuk itu pemimpin besar gabungan itu bertanding di Johor. Ada yang dipindah dari kerusi selamat di kawasan masing-masing di luar Johor, khususnya pemimpin DAP. Yang terunggul Lim Kit Siang bertanding di Iskandar Puteri.

Apa yang berlaku pada PRU14 semua maklum. Ringkasnya bukan sahaja Johor jatuh ke tangan PH, kerajaan pusat pimpinan BN turut tumbang. Sekarang ‘formula’ PH untuk mencipta kemenangan PRU15 ialah Perak dijadikan negeri barisan depan dan Anwar Ibrahim bertanding di Tambun.

Keadaan masa kini berbeza dengan iklim 2018. Ada pemerhati politik berpendapat jika Anwar mahu membuka laluan untuk PH menembusi Perak, mungkin beliau patut pilih kawasan yang lebih selamat. Mungkin Kuala Kangsar, atau Padang Rengas di mana penyandangnya, Nazri Aziz, sudah mengumumkan tidak akan bertanding kali ini.

Tetapi Anwar pilih Tambun yang dikatakan tidak selamat. Tentu beliau tahu, malah pasti sudah dapat cukup maklumat tentang risiko yang menunggu. Anwar sendiri mengaku beliau tidak memilih kerusi mudah yang menjamin majoriti besar.

Ada pemerhati politik berkata tidak tepat menyamakan situasi Anwar dengan Lim. Pertama, suasana sekarang berbeza dengan suasana 2018. Kedua, Lim bertapak awal kerana pindah ke Gelang Patah (nama lama Iskandar Puteri) pada 2013 untuk PRU13.

Walaupun Lim menang, BN kekal memerintah. Bagaimanapun pembangkang berjaya membuat “lompatan besar” waktu itu. Begitu juga PRU12 sebelumnya. Kemenangan Lim pada 2018 melengkapkan misi. Penduduk Iskandar Puteri majoriti bukan Melayu dan pemerhati politik tidak meragui kemampuan Lim menang di kawasan itu.

Sebaliknya Anwar bertanding Tambun tanpa punya masa lama untuk bertapak. Perlu diingat pada 2013 beliau dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen di Perak tetapi tidak terlaksana. Mungkin sejak itu “ground work” sudah dijalankan? Baru-baru ini Naib Pengerusi PKR Tambun, Mahanin Abdul Hamid, dilapor berkata sebelum Anwar mengumumkan akan bertanding di Tambun, beliau diminta membuat tinjauan. Mahanin mendakwa maklum balas penduduk amat menggalakkan.

Tambun kawasan separa bandar yang majoritinya Melayu. Peluang PKR lazimnya cerah di kawasan separa bandar berbanding di nusa teras Melayu.

Apa pun kerusi Tambun pernah menjadi kubu kuat Umno-BN. Pada PRU13, BN menang dengan meraih 42,093 undi atau 56.2%, manakala PKR meraih 32,768 undi atau 43.8%. Pada PRU14, terdapat tambahan 12,089 undi di Tambun tetapi undi BN merosot kepada 33,341 undi (38.3%). PAS yang bertanding sebagai “kuasa ketiga” memungut 14,948 undi (17.2%). Ramai termasuk penganalisis politik melihat PAS ketika itu “kacau daun” dan akan menguntungkan BN. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Tambun pada 2018 kita tahu dimenangi Ahmad Faizal Azumu, calon Bersatu yang pada waktu itu komponen Pakatan Harapan. Atas tiket PKR, beliau menang dengan meraih 38,661 undi (44.5%).

Kali ini Faizal atau dikenali sebagai Peja mahu mempertahankan Tambun. Anwar nama besar berbanding Faizal tetapi untuk memandang Peja enteng satu kesilapan. Beliau orang tempatan, ADUN Chenderiang, dan pernah menjadi menteri besar Perak.

Bagaimanapun prestasinya sebagai menteri besar dikatakan tidak cemerlang dan beliau kerap dilanda kontroversi. Faizal tumbang pada Disember 2020 apabila gagal melepasi usul undi percaya yang dibawa oleh ADUN BN walaupun gabungan itu sebahagian kerajaan pimpinan Faizal.

Faizal memegang jawatan timbalan presiden Bersatu, dan boleh dilihat sebagai orang kanan Presiden Muhyiddin Yassin. Namun dalam Bersatu, Faizal dikatakan dalam bayangan Azmin Ali dan Hamzah Zainudin yang lebih menonjol.

Oleh kerana Tambun kawasan majoriti Melayu, bolehkah dijangka Gerakan Tanah Air juga akan meletakkan calon di situ? Sehingga kini GTA diberitakan terbuka untuk berunding dengan PN. Tambun mungkin menyaksikan perlawanan tiga penjuru, dan kemungkinan lebih calon tidak boleh diketepikan.

Berbalik rancangan PH mengangkat Perak sebagai negeri barisan depan. Sememangnya PH mengharapkan ‘pengorbanan’ Anwar berlawan di kerusi susah akan menaikkan semangat menghadapi cabaran di seluruh negara.

Adakah Anwar akan membawa nama nama besar lain untuk bertanding di Perak bagi merealisasikan impian mereka? Sehingga kini tidak ada nama yang diumumkan, cuma Shamsul Iskandar Md Akin, penyandang Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka menyatakan kesediaan menyertai Anwar.

Hakikatnya bagi PH pertandingan di Tambun bukan hanya mengenai Anwar lawan Faizal. Ia mengenai menawan Perak dan mengambil kembali Putrajaya. Bagi Anwar secara peribadi – kesan mendalam. Menang di Tambun tetapi PH tidak memerintah negara bererti hasrat menjadi perdana menteri tidak tercapai. Jika PH menubuhkan kerajaan pusat (secara sendiri atau kerajaan perpaduan) tetapi Anwar kalah di Tambun, kerusi perdana menteri tidak dapat diduduki.

Anwar tahu ini semua. Beliau kerap menegaskan “jika takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai”. Itu masih pegangannya.

Mungkin PH boleh menarik nafas lega (sedikit) kerana jika mereka boleh berjaya di Johor , negeri kelahiran Umno yang dianggap kebal, Perak ada sejarah berani buat perubahan.

Perak pernah memilih untuk diperintah Pakatan Rakyat pada 2008, sebelum kerajaan negeri tumbang apabila tiga ADUN ‘berpaling tadah’. Kerajaan PH 2018 pula kita tahu tumbang akibat Langkah Sheraton pada 2020.

Lantas, pengerusi PH Perak Mujahid Yusof menyimpulkan “Parlimen Tambun lambang kepada menebus perbuatan khianat mandat rakyat…” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.