`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 23, 2022

Peja mungkin ‘lepas’ DUN Chenderiang, tumpu di Tambun

Ahmad Faizal Azumu berpandangan secara peribadi mahu menumpukan kepada Parlimen Tambun, pada pilihan raya umum ke-15. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan tidak akan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang atas ‘alasan’ mahu memberi perhatian terhadap Parlimen Tambun, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga timbalan presiden Bersatu menang di Chenderiang hanya dengan majoriti tipis, 39 undi, dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, pada PRU14.

“Itu (bertanding DUN Chenderiang) belum kita (Perikatan Nasional) putuskan lagi, tetapi saya fikir secara peribadinya saya ingin menumpukan perhatian kepada Parlimen Tambun.

“Bukan kerana Anwar (pengerusi Pakatan Harapan) ingin bertanding di Tambun, tetapi saya fikir eloklah kita beri peluang kepada pemimpin lain untuk ditonjolkan (di Chenderiang) memandangkan saya sudah pun mempunyai pengalaman sebagai Ahli DUN (ADUN), bahkan pernah menjadi menteri besar Perak,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam program Sambutan Deepavali Bersama Warga Little India, di Ipoh, malam tadi.

Ahmad Faizal pernah memberi bayangan sebaliknya, pada Oktober tahun lalu, apabila ingin mempertahankan DUN Chenderiang dimenanginya pada PRU14 memandangkan ketika itu Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengumumkan secara terbuka untuk menentangnya, pada PRU15.

Untuk rekod, Ahmad Faizal adalah penyandang Parlimen Tambun dan DUN Chenderiang, Perak pada PRU14 serta pernah menjawat menteri besar Perak bermula Mei 2018 iaitu sejurus PRU14, sebelum beliau disingkirkan melalui usul undi percaya, pada Disember 2020. - FMT


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.