`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 17, 2022

PM sementara tiada kuasa mansuh hutang Felcra

 

Bekas Ahli Parlimen, M Kula Segaran, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, perdana menteri sementara tidak boleh “memancing undi”.

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob yang menjadi perdana menteri kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen, tiada kuasa untuk menghapuskan hutang peneroka Felcra berjumlah berjuta-juta ringgit, kata beberapa bekas ahli Parlimen pembangkang.

Hari ini, Ismail mengumumkan Putrajaya bersetuju secara dasar untuk menghapuskan RM223.8 juta hutang peneroka Felcra.

Menurut laporan Bernama, Ismail berkata, pemansuhan hutang peneroka Felcra itu perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk diluluskan dan berharap ia boleh dilakukan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tambahnya, kerajaan juga akan membelanjakan RM191 juta untuk bantuan musim tengkujuh kepada pekebun getah kecil yang berdaftar di bawah Risda dengan setiap pekebun menerima kira-kira RM600 pada Nov dan Dis.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Penyandang Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran berkata, perdana menteri sementara tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar melainkan ia diluluskan terlebih dahulu Jemaah Menteri dan dimaklumkan di Dewan Rakyat sebelum Parlimen dibubarkan.

“Apabila beliau (Ismail) sudah melakukan semua proses ini, barulah beliau boleh membuat pengumuman,” kata naib pengerusi DAP itu kepada FMT.

“Jika tidak ini adalah satu tindakan rasuah kerana beliau mempengaruhi pihak yang mendapat manfaat ini untuk mengundi kerajaan sedia ada,” katanya yang juga bekas menteri sumber manusia.

Penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut senada dengan Kula apabila mengatakan Ismail tidak seharusnya membuat pengumuman itu kerana peranannya sebagai perdana menteri sementara.

Fahmi turut merujuk kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali pada Isnin lalu yang menjelaskan secara terperinci fungsi terhad kerajaan sementara.

Selepas Parlimen dibubarkan, Zuki berkata, Jemaah Menteri tiada kuasa untuk membuat sebarang keputusan dasar sebaliknya mereka hanya boleh meneruskan keputusan yang diluluskan sebelum pembubaran Dewan Rakyat.

Fahmi juga mendesak Putrajaya memberi penjelasan sama ada dasar berhubung hutang peneroka Felcra dan bantuan pekebun kecil Risda diputuskan sebelum pembubaran Parlimen.

Ketua penerangan PKR itu juga berkata, penting untuk memastikan kesahihan sumber dana untuk keputusan berkenaan dan menambah, pada pandangannya Ismail yang bakal mempertahankan Parlimen Bera, menyalahgunakan kedudukannya untuk meraih undi.

Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan sama ada pengumuman Ismail itu adalah satu bentuk rasuah.

“Saya berpendapat SPRM perlu menjelaskan pendiriannya,” katanya dan menambah Ismail harus berhenti membuat kenyataan dan pengumuman dasar seperti itu kerana dia bukan “perdana menteri penuh” lagi.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann pula berkata, pengumuman Ismail itu umpama “salah guna dana kerajaan” dengan menggunakan wang pembayar cukai untuk “memancing undi” dalam kalangan peneroka Felcra dan pekebun getah kecil Risda.

“Namun sedihnya, tindakan salah guna dana kerajaan ketika pilihan raya tidak dianggap sebagai satu jenayah oleh undang-undang ketika ini,” katanya.

Tambahnya, ketua setiausaha negara juga tiada kuasa untuk menghalang amalan seperti itu.

Sementara itu, penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menganggap pengumuman Ismail itu hanya sekadar “janji pilihan raya dan retorik untuk membeli undi”.

Katanya, peruntukan tidak dapat disalurkan kepada peneroka dan pekebun getah kecil kerana Parlimen sudah dibubarkan.

“Bagi saya Ismail menyalahgunakan kuasanya dan SPRM harus menyiasat perkara ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.