PETALING JAYA: “Orang muda, walaupun susah sebab hujan, tolonglah balik mengundi”, itu mesej penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Yusof kepada pengundi muda.
Katanya, jika peratusan keluar mengundi rendah, Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan menempa kejayaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sepertimana berlaku di Johor dan Melaka. Dua negeri itu sebelum ini mengadakan pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan kemenangan Umno BN.
“Rakyat, kalau pun hujan rintik-rintik keluarlah mengundi, kena keluar mengundi kalau rakyat mahu mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul. Dapatan kajian saya, strategi oleh Umno BN untuk mengadakan pilihan raya apabila pengundi kurang turun padang. Kurang keluar mengundi contoh di Melaka dan Johor.
“Rakyat hari ini sudah celik. Jadi saya harap generasi muda, walaupun banjir, walaupun susah, hujan tak ada payung ke, pergilah keluar mengundi untuk membuat perubahan,” ujarnya kepada FMT.
Redzuan yang juga bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berkata, pengundi muda juga akan menjadi penentu kepada peningkatan sokongan gagasan itu.
Beliau akur pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menjelang musim banjir amat menyusahkan rakyat.
“Apa yang berlaku hari ini adalah satu perkara yang menyusahkan rakyat. Bayangkan, kalau kita ikut ramalan cuaca. Adakah rakyat boleh keluar mengundi? Kalau keluar mengundi adakah itu melambangkan satu majoriti?” katanya.
Redzuan antara 12 pemimpin terawal yang membentuk PN berkata, isu lapuk seperti skandal 1MDB, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin tertentu tidak harus lagi dijadikan modal pilihan raya kali ini.
“Kalau dulu tsunami 1MDB. Hari ini kita buat satu tsunami yang boleh kita sebut untuk maju ke depan. Rakyat mahu mencari alternatif, mahu cari apa yang kita bawa. Isu-isu seperti rasuah, salah guna kuasa, rakyat nampak stereotaip.
“Rakyat mahu lihat apa PN boleh bawa ke depan? Kita nak maju ke depan, bawa anak muda contohnya, pemuda pemudi hari ini nak lihat ‘eh, apa masa depan untuk kami?’, ‘Boleh ke saya dapat biasiswa?’, ‘Boleh ke saya tingkatkan ‘skill’ saya?’. Ini yang kita (PN) harus buat,” tegasnya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.