`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, October 26, 2022

Tawaran TPM buat Sabah, Sarawak jadi manifesto PH, kata pemimpin DAP

 

Chan Foong Hin berkata janji sama dibuat pada PRU14 tetapi tidak dimasukkan dalam manifesto PH ketika itu.

KOTA KINABALU: Manifesto Pakatan Harapan bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) turut termasuk janji melantik seorang timbalan perdana menteri dari Sabah atau Sarawak.

“Pada PRU lalu, janji itu dibuat tetapi tidak dimasukkan dalam manifesto. Apabila PH menjadi kerajaan, kami bekerja keras untuk menunaikan janji dalam manifesto kami dulu,” kata Ketua Biro Dasar DAP, Chan Foong Hin dalam sidang media di sini.

“Pewujudan jawatan timbalan perdana menteri atas budi bicara perdana menteri. Kali ini, calon kami untuk jawatan perdana menteri, (Pengerusi PH) Anwar Ibrahim sudah bersetuju dengan cadangan ini.”

Katanya, menyenaraikan tawaran itu dalam manifesto pilihan raya adalah jaminan buat pengundi di Sabah dan Sarawak terhadap keikhlasan gabungan itu.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ahad lalu, Anwar ketika menghadiri satu acara di Sandakan, Sabah mencadangkan dua jawatan timbalan perdana menteri, satu dari Semenanjung dan satu lagi dari Sabah atau Sarawak, jika gabungan itu memenangi PRU15.

Chan berkata, ia sentiasa menjadi hasrat PH untuk menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada Ahli Parlimen dari Sabah atau Sarawak, dan tawaran gabungan itu lebih menyeluruh berbanding Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mempersoalkan keengganan Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen secara terbuka terhadap gesaan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan timbalan perdana menteri tambahan diberikan kepada Sabah dan Sarawak, jika BN memenangi PRU15.

Katanya, ini menunjukkan BN tidak ikhlas untuk memperkasakan dua negeri itu.

Menurut Chan, bawah kerajaan BN, menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak hanya ditugaskan menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tiada kuasa membuat keputusan dalam Kabinet.

Sementara itu, Presiden Upko, Madius Tangau berkata, di bawah PH, seorang timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak akan membantu melindungi hak dua negeri itu serta menyelaras dana persekutuan untuk memastikan lebih banyak pembangunan di Malaysia Timur.

“Sesetengah dana dan dasar khusus untuk Semenanjung kerana Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi, seperti untuk pertanian, kerja awam, bekalan air, elektrik dan lain-lain.

“Akibatnya, pembangunan di Sabah – seperti dalam sektor pertanian – ketinggalan dan bahkan terbantut.

“Di Semenanjung, pengeluaran beras boleh mencecah 10 metrik tan setahun. Di Sabah, kami masih mengeluarkan dua metrik tan setahun kerana kami hanya dibiayai melalui dana negeri dan menerima sejumlah kecil token dari Putrajaya.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.