PETALING JAYA: Terowong Lebuhraya SMART di ibu negara ditutup sepenuhnya kepada pengguna pagi ini susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang sejak beberapa jam lalu.
Langkah itu diambil susulan paras air di beberapa sungai di sekitar ibu negara melepasi paras bahaya, amaran dan berjaga-jaga berikutan hujan lebat.
“Terowong SMART ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi banjir,” katanya menerusi media sosial pada kira-kira 8 pagi tadi.
Tambahnya, terowong bawah tanah itu kini beroperasi dalam Mod 3, iaitu terowong trafik ditutup dan dikosongkan daripada kenderaan, manakala air banjir dialirkan di bahagian bawah terowong.
Terowong SMART memiliki empat mod operasi, dengan Mod 4 akan diaktifkan sekiranya air banjir perlu dialirkan ke laluan trafik.
Terdahulu, portal Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Gombak di Jalan Tun Razak sudah melepasi tahap bahaya dengan bacaan 31m dengan pola meningkat pada 8 pagi tadi.
Paras air Sungai Klang pula sudah melepasi tahap amaran di Jambatan Tun Perak dengan bacaan 29m, manakala paras air sungai itu di Leboh Pasar pada 28m, iaitu melepasi tahap berjaga-jaga.
Kedua-dua stesen paras air itu juga mencatat pola peningkatan setakat 8 pagi.
Setakat 8.30 pagi tadi, Sungai Klang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya dengan ketinggian 31.09m, berbanding paras bahaya 31m, menurut portal Public Infobanjir. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.