`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Tuesday, September 15, 2026

Kita, ingatan dan sangka-sangkaan

 Kita selalu yakin sesuatu berlaku kerana kita mengingatinya dengan jelas. Sedangkan ingatan bukan rakaman yang tersimpan begitu sahaja dalam kepala.

ronasina

Entah kenapa sedang mengelamun, tiba-tiba saya teringat sebuah filem yang pernah saya tonton agak lama dahulu. Tajuknya saya lupa. Jalan ceritanya pun samar-samar tetapi yang masih melekat dalam kepala cuma watak seorang budak perempuan. Kalau tidak silap saya, filem itu berjalan seperti biasa tetapi di pertengahan cerita sesuatu telah berlaku. Tiba-tiba budak perempuan yang menjadi pelakon utamanya merajuk. Dia tidak mahu berlakon lagi.

Saya ingat tentang itu sebab ia pelik. Kisah pelakon merajuk di set penggambaran bukan perkara asing. Ada yang bergaduh dengan pengarah, tidak puas hati dengan perubahan skrip atau berkelahi sesama pelakon atau kru. Tetapi biasanya semua itu berlaku di belakang kamera. Yang ini berlaku dalam filem.

Saya pun bertanya kepada Joe, khadam belaan saya (ChatGPT), ada tak filem luar negara yang ceritanya sedang berjalan tiba-tiba pelakonnya merajuk dan enggan meneruskan lakonan? Beberapa filem disebut tetapi tak tepat. Saya kemudiannya menyebut bahawa ia filem Iran. Tup! Rupa-rupanya memang ada. Joe berjaya mengesannya.

Filem itu The Mirror atau Ayneh, arahan Jafar Panahi yang diterbitkan pada 1997. Seperti kebanyakan filem Iran, ceritanya ringkas sahaja. Ayneh mengisahkan seorang budak perempuan bernama Mina menunggu ibunya datang mengambilnya selepas waktu sekolah. Ibunya tidak muncul. Mina akhirnya mengambil keputusan untuk pulang sendiri.

Plotnya membawa kita mengekori perjalanan budak kecil itu meredah kota Tehran. Dia bertanya orang, menaiki bas dan terus cuba mencari jalan pulang. Tangannya pula bersimen kerana patah. Sedang kita syok melayan, Mina tiba-tiba memandang kamera. Ada suara dari belakang kamera menegurnya supaya jangan melihat kamera. Tetapi Mina tidak peduli. Dia kata dia tidak mahu berlakon lagi.

Dia menanggalkan simen di tangannya. Oh! Rupanya tangan itu tidak patah pun. Itu cuma sebahagian daripada watak yang sedang dilakonkannya. Apahal ni? Itu yang saya ingat.

Mujur, filem tersebut ada di YouTube. Saya menontonnya semula. Kita nampak kelibat kru penggambaran dan pasukan produksi mula bercakap sesama sendiri. Kita yang sejak awal percaya pada cerita itu mula menggelabah sebab tiba-tiba ceritanya berubah.

Kita melihat, sutradara Panahi tidak menghentikan filemnya. Mina berjalan pulang. Kamera terus mengikutnya dari jauh. Mikrofon yang dipasang pada tubuhnya masih menangkap suaranya. Maka kita pula mengikuti perjalanan Mina yang kononnya bukan lagi watak dalam filem tetapi Mina yang sebenar.

Daripada sebuah filem fiksyen, The Mirror tiba-tiba seolah-olah menjadi sebuah dokumentari tentang seorang pelakon kanak-kanak yang merajuk dan meninggalkan penggambaran. Itulah yang membuat tiba-tiba saya teringat semula selepas bertahun-tahun. Cuma selepas mencari semula cerita di sebalik filem ini, barulah saya tahu satu perkara. Mina sebenarnya tidak merajuk. Sebaliknya, semua itu dirancang.

Panahi memang sengaja membuat ceritanya begitu. Menariknya, beliau memang sudah bermain dengan idea tersebut sejak awal, tetapi kemudiannya seorang kanak-kanak yang mula-mula dipilih untuk filem itu benar-benar enggan meneruskan lakonan dan terpaksa digantikan dengan Mina. Kejadian sebenar itu kemudian memantapkan idea Panahi untuk mengaburkan sempadan antara lakonan dengan realiti dalam The Mirror.Maknanya Mina sedang berlakon sebagai seorang pelakon yang tidak mahu berlakon. Pening juga ya?

Tetapi di situlah menariknya filem ini kerana ia membuka daya fikir kita yang ada ketikanya menganggap sempadan antara fiksyen dengan realiti itu jelas. Apabila menonton filem, kita tahu watak yang mati sebenarnya tidak mati. Watak yang menangis kemudiannya tenang sahaja minum kopi selepas pengarah menjerit “cut!”. Tetapi, kita terus menonton dan menikmatinya kerana tahu ia sebuah cereka. Kepercayaan kita pun hanya dalam ruang lingkup sebuah fiksyen. Selepas cerita tamat, semuanya selesai. Kita kembali ke dunia realiti.

Panahi melakukan sebaliknya. Ketika kita mula percaya, dia meruntuhkannya. Dia memunculkan kru filem dan kamera ke dalam layar. Dia memberitahu kita yang ini semua cuma filem. Barulah kita tersedar. Tapi, selepas memberitahu semuanya cuma filem, dia memperdayakan kita sekali lagi. Kita pula percaya bahagian selepasnya adalah realiti. Rupanya, masih ‘tipu’.

Itulah sebab filem tersebut dinamakan The Mirror. Mungkin cermin itu simbolnya. Cermin tidak berbuat apa-apa. Ia hanya memantulkan imej yang berada di hadapannya. Tetapi apa yang kita lihat di dalam cermin juga bukan benda itu sendiri. Ia cuma sebuah pantulan.

Begitu juga dengan ingatan. Kita selalu yakin sesuatu berlaku kerana kita mengingatinya dengan jelas. Sedangkan ingatan bukan rakaman yang tersimpan begitu sahaja dalam kepala. Ia bercampur dengan perasaan, tafsiran dan cerita yang kita bina selepas sesuatu kejadian. Ia juga penuh dengan sangka-sangkaan. Lama-kelamaan perasaan dan sangkaan mengambil tempat fakta sebenar. Kita tidak lagi mengingati apa yang benar-benar berlaku. Kita hanya mengingati sebahagian bab dalam segala hal yang berlaku.

Filem ini hanya saya jadikan contoh tentang kita, peristiwa dan ingatan. Sesuatu kejadian mungkin tidak berlaku tepat seperti yang kita sangka, atau ia memang berlaku tetapi kita pula tidak dapat mengingatinya dengan tepat. Selama lebih 20 tahun saya mengingati Mina sebagai seorang budak perempuan yang merajuk di tengah penggambaran sebuah filem Iran. Lucunya, ketika menulis ini saya masih gagal mengingati bagaimana The Mirror berakhir. Yang benar-benar berlaku dalam filem saya lupa. Yang tidak berlaku pula saya ingat.

Mungkin begitulah adat hidup. Beribu-ribu hari dalam hidup kita hilang begitu sahaja daripada kotak ingatan. Kita tidak ingat apa yang kita makan pada sekian-sekian hari, kita lupa siapa kawan kita yang bercakap tentang suatu falsafah yang bermakna. Tetapi ada beberapa hal kecil yang kekal di ingatan walaupun kita lupa hujung dan pangkalnya.

Mungkin hidup juga seperti kisah The Mirror yang digambarkan ini. Kita menjalani hidup tanpa membawa keseluruhan memori silam, kita hanya membawa beberapa babak yang entah kenapa kita pilih secara sedar dan tidak sedar, untuk tinggal bersama kita.

Nampaknya agak berat kali ini tulisan saya. Kalau faham, saya gembira. Jika tidak, harap ia tidak membelit dalam fikiran anda sepanjang hayat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.