Klip video, gambar dihantar selepas Jabatan Perikanan Pahang siasat dakwaan penemuan ikan mungkin pirana perut merah di Empangan Klau.

Ketua Pengarah Perikanan Adnan Hussain berkata, proses pengesahan sedang dilakukan bersama-sama IPP manakala pemantauan di empangan turut dilaksanakan dengan kerjasama komuniti perikanan darat setempat dan agensi berkaitan.
“Orang awam tidak perlu cemas dan dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kesimpulan sehingga pengesahan spesies diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, rakaman video dan gambar dihantar hari ini selepas Jabatan Perikanan Pahang menjalankan siasatan susulan terhadap dakwaan penemuan ikan asing berkenaan yang mendapat perhatian menerusi media sosial.
Sebelum ini, media sosial kecoh dengan dakwaan kewujudan pirana di Empangan Klau termasuk hantaran yang mendakwa ikan itu memakan buaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan warganet mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di perairan berkenaan.
Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.
Berdasarkan keterangan individu terbabit, hanya seekor ikan didakwa sebagai pirana ditangkap pada hari kejadian manakala tangkapan lain terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass. Ikan berkenaan bagaimanapun mati sebaik tiba di daratan sebelum dibuang ke dalam semak.
Susulan itu, pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Pahang bertemu individu yang menangkap ikan berkenaan, yang merupakan peraih ikan di kawasan itu dan individu sama yang merakam video tangkapan tersebut.
Hasil perbincangan dengan komuniti setempat mendapati tiada lagi tangkapan ikan seumpamanya dilaporkan sejak kejadian pertama itu.
Pengarah Perikanan Pahang Roslan Abu Hassan hari ini bersama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Raub, polis serta Penghulu Mukim Gali 2 turut melakukan pemeriksaan di lokasi selain bertemu komuniti setempat yang menjadi saksi kepada penemuan berkenaan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.