`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 1, 2024

Menunggu episod reformasi di ‘final season’

 

Free Malaysia Today

Sebuah drama TV bersiri yang hebat biasanya akan bersambung dari musim ke musim dan setiap musim mengandungi beberapa episod. Ia mungkin akan berlarutan lebih panjang jika sambutannya hebat. Siri Peaky Blinders, The X-Files adalah antara drama TV bersiri kegemaran saya yang saya ikuti sehingga ‘final season’. Begitulah Reformasi 98′ yang saya anggap sebuah drama panjang berepisod dan bermusim. Ia telah berlangsung pada bulan ini 26 tahun lalu dan kini sudah hampir sampai ke musim terakhirnya.

Pada 20 Sept lalu saya diajak oleh beberapa orang kawan untuk hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil. Ada perhimpunan rakyat menyambut ulang tahun gelombang reformasi. Katanya PMX akan hadir. Saya yang berada di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) ketika itu menyatakan tidak dapat bersama kerana ada kerja. Aku kena berjuang mencari makan, seloroh saya.

Beberapa orang teman yang saya kenal, meskipun tidak lagi aktif dalam parti politik yang menggalang agenda reformasi itu tetapi rasa sentimental terhadap ‘zaman perjuangan’ masih menebal. Mereka sentiasa teruja untuk hadir jika ada sebarang pertemuan. Bagi mereka kejayaan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri adalah kemenangan besar gerakan reformasi. Jangan sesekali kita perlecehkan gerakan mereka berdemonstrasi di jalanan 26 tahun lalu, nanti mereka marah. Itulah perjuangan yang menuntut kudrat, keringat, darah dan air mata. Ada yang hilang kerja, hilang saudara kerana reformasi. Kau yang tak ada masa itu jangan cakap banyak. Mereka memang gila dan nekad ketika itu.

Mereka yang berada dalam gerakan itu masih tidak lupa perasaan cemas serta detik-detik melawan ketakutan dalam diri. Melihat kawan-kawan ditangkap, dipukul dan masuk lokap sudah cukup mencemaskan. Di hati masing-masing sering tertanya bila pula masa kita akan kena. Takut, bukan tak takut tetapi perjuangan menuntut kita supaya berani untuk menjadi tidak takut.

Perkara paling utama dalam reformasi ialah mengatasi ketakutan dalam diri. Jika ini lepas, segalanya selesai.

Kata-kata keramat oleh reformis tegar pada zaman itu masih tersemat dalam kepala saya. Hari ini, walaupun generasi telah berganti, mereka yang pernah terlibat di zaman melawan akan terus mengenangnya walaupun hari ini ada antara mereka telah tercampak.

Secara peribadi selama 26 tahun ini saya mempunyai pengamatan sendiri terhadap episod reformasi. Tak payah kita bincangkan bagaimana reformasi tercetus, itu sudah jadi sejarah dan kita semua sudah tahu. Cuma, 26 tahun ini telah menyaksikan siapa yang bertahan dan siapa yang cabut. Manakala yang kekal bertahan pula apakah masih kekal atau sudah berubah? Di tampuk kuasa, pegangkah lagi ikrar yang pernah dilafazkan? Atau sudah dapat kawan baharu duduk-duduk di kafe mahal bincang projek, kontrak dan tender?

Ada juga yang telah cabut tetapi kali ini menentang pula pemerintahan hari ini walhal mereka dahulunya tulang belakang gerakan. Inilah demokrasi yang kita anuti. Hendak tak hendak itulah hasil didikan reformasi itu sendiri.

Bagi saya penggal paling berbisa bagi Anwar ialah sebelum PRU15 yang lalu. Anwar ketika itu dilihat tiada masa depan. Ramai pimpinan rapat lari meninggalkannya. Mereka yang lari ini mahu terus ‘survive’ dan Anwar serta parti kelihatannya macam tak ada harapan (walaupun dinamakan Pakatan Harapan). Dalam istilah setiakawan memang wajar lari itu dianggap sebagai sebuah pengkhianatan.

Episod pengkhianatan itu memang suatu usaha untuk membenamkan betul-betul karier Anwar supaya dia tidak lagi mampu bangkit. Itulah yang saya nampak dan firasat saya menyatakan bahawa jika Allah berkehendakkan seseorang itu naik, naiklah dia walaupun berjuta manusia cuba menghalang. Kalau nak jatuh, lama mana pun berkuasa dengan sekelip mata sahaja melingkup walaupun sejuta manusia mempertahankan. Inilah episod paling ‘suspen’. Terbukti, Anwar naik. Timbul persoalan, menyesalkah hari ini ‘pembelot-pembelot’ itu?

Di dewan Axiata Arena pimpinan dan penyokong reformasi meraikan kemenangan. Mereka melangkah ke episod baharu dan kali ini bagi saya adalah musim terakhir. Ini adalah musim penentuan sama ada agenda reformasi dilaksanakan atau hanya sekadar laungan? Ucapan-ucapan PMX tentang perjuangan melawan kaki sakau mendapat sorakan gemuruh reformis. Ungkapan lawan tetap lawan bergema.

Setelah menang, siapa yang mereka lawan hari ini? Siapakah kaki sakau yang dimaksudkan selama ini? Seperti menonton drama bersiri House Of Cards di Netflix, kita menunggu episod satu bersambung ke episod dua pada minggu berikutnya dan kemudian satu episod lagi dan lagi. Begitulah seterusnya sehingga bertemu kesudahan. Apakah kesudahan episod terakhir, musim terakhir re-for-ma-si ini nanti menyaksikan penyamun, kaki sakau, perasuah besar dan penjenayah politik yang disebut nama-nama mereka di pentas ceramah dahulu akan ditangkap? Inilah pula cabaran Anwar apabila tuhan memberikannya peluang untuk naik membuktikan apa yang dikata, dikota. Naik dan turun seseorang adalah terlalu mudah bagi tuhan.

Saya menanti reformasi dilunaskan seperti saya menanti penyanyi dan seniman zaman reformasi yang berani ‘perform’ di jalan raya tanpa takut dihempuk belantan dahulu dijemput menyanyi ke acara gadang seperti malam itu. Meluat juga menengok artis yang dulu tak adalah re-for-ma-si sangat tapi kini merekalah yang paling Ma-da-ni! - Mkini

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.