`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 23, 2024

Tubuh RCI siasat dakwaan anak-anak GISBH dieksploitasi, cadang Suhakam

 

Farah Nini Dusuki
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Farah Nini Dusuki mempersoalkan tiadakah sesiapa sedar berlakunya eksploitasi terhadap anak-anak GISBH yang dikatakan telah berlarutan selama bertahun-tahun. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara terperinci dakwaan eksploitasi terhadap kanak-kanak oleh GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Farah Nini Dusuki berkata, dengan adanya RCI, siasatan secara telus dan terperinci dapat dijalankan termasuk mengenal pasti punca eksploitasi ke atas kanak-kanak terbabit.

“Kita terus ke isu berkaitan, macam mana dah bertahun-tahun berlaku tetapi tiada yang bertanya kanak-kanak ini pergi sekolahkah? Sakitkah? Berapa orang penjaga dalam setiap pusat?” soalnya semasa menjadi tetamu program audio siar Cikgu Undang-Undang.

“Sebagai individu yang berada dalam bidang ini selama 32 tahun, saya tertanya-tanya apa yang telah berlaku dalam komuniti kita. Tiada siapakah persoal sama ada budak-budak ini pergi sekolah, kerana bawah Seksyen 39A Akta Pendidikan 1996, mandatori untuk mereka menerima pendidikan.”

Audio siar terbaru Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang itu membincangkan isu-isu semasa berkaitan undang-undang serta reformasi institusi, dihoskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Turut menjadi tetamu dalam episod sulung yang bersiaran semalam ialah pengasas bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin.

Hartini, yang senada dengan Farah Nini berkata, RCI boleh menyelidik dengan lebih mendalam punca isu itu.

Cabaran sebenar bukan terletak pada sesuatu undang-undang tetapi pelaksanaannya yang cacat, tambahnya.

“Saya percayakan RCI. Kita perlu menyelidikinya dari peringkat akar umbi kerana isu membabitkan kanak-kanak adalah tanggungjawab pelbagai agensi,” katanya.

Azalina pula mencadangkan supaya Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) bergerak secara agresif untuk merangka prosedur operasi standard (SOP) penjagaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH.

“Saya juga akan mengambil peluang selepas ini bagi mendapatkan kerjasama badan bukan kerajaan dan OCC untuk mengadakan sesi dengan Ahli Parlimen,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.