Timbalan Presiden Mohamad Hasan tegas kerjasama politik bukan tiket percuma gugat prinsip asas negara.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan merujuk hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata, kerjasama politik bukan tiket percuma untuk melunakkan prinsip yang menjadi asas penubuhan Umno dan pembinaan negara.
“Rakan-rakan politik, terutamanya dari ideologi yang berbeza, perlu faham bahawa menyentuh atau mempertikaikan hak keistimewaan ini adalah satu pengisytiharan perang terhadap nurani orang Melayu.
“Kita boleh berkongsi kuasa, tetapi kita tidak akan berkongsi atau menggadaikan maruah bangsa,” katanya berucap merasmikan perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Beliau menegaskan bahawa Umno tidak akan berdiam diri sekiranya asas negara digugat, semata-mata demi menjaga kestabilan politik.
“Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan negara, tetapi jika (ada) tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa, dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada.
“Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama Umno,” katanya.
Mohamad turut menepis keras dakwaan bahawa Umno ‘Pak Turut yang boleh dibuli dan dicucuk hidung’.
“Malam ini saya mahu matikan persepsi itu … Jangan sesiapa ingat Umno ini (seperti) melukut di tepi gantang.
“Umno penyemak imbang yang paling efektif dari dalam kerajaan. Walaupun kerusi kita tidak banyak, suara kita di Kabinet ialah suara penentu.
“Kita pastikan tiada dasar yang melampau, tiada dasar yang merugikan orang Melayu, dibiarkan begitu saja,” katanya.
Sebagai bukti peranan Umno sebagai penyemak imbang, Mohamad memetik peranan parti itu dalam penangguhan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB), menyekat pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan serta memperkasa agenda ekonomi Bumiputera. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.