Iskandar Samad sifatkan harapan presiden Umno agar PAS terbubar sebagai tidak masuk akal.

Bendahari PAS, Iskandar Samad, sebaliknya berkata Umno yang wajar menilai semula kewujudannya berdasarkan prestasi parti itu pada PRU15.
“Kalau betul nak bubar, bubarlah Umno kerana Umno ditolak rakyat pada PRU lepas,” katanya kepada FMT.
“PAS telah diterima oleh rakyat, terutama umat Islam. Buktinya kerusi PAS jauh lebih banyak daripada kerusi Umno. Tak masuk akal nak bubar PAS.”
Iskandar mengulas kenyataan Zahid, yang berharap PAS akan terbubar selepas Umno memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya pada 2019, pada penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, petang tadi.
Zahid mendakwa, bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat pernah berkata PAS akan dibubarkan jika Umno meletakkan Islam dalam perlembagaannya.
Perhimpunan agung Umno pada 2019 meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain meletakkan agama di hadapan, disusuli bangsa dan negara.
Pada 2008, media melaporkan Nik Aziz mencadangkan Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan Islam, bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.