`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, January 15, 2026

Mengapa Mossad dan CIA gagal lagi di Iran?

Kebanyakan liberalis yang konon sokong ‘kebangkitan rakyat Iran’ sukar terima hakikat dalam demokrasi di Iran majoriti menginginkan ulama memimpin lebih ramai berbanding menolak.

faisal tehrani

Sekali lagi, Mossad dan CIA gagal di Iran meskipun setelah mereka menghuru-harakan seluruh republik Islam itu selama empat hari. Ia sebetulnya bermula sebaik sahaja tahun baharu apabila kebanyakan peniaga bazar berasa tidak puas hati dengan penguncupan nilai mata wang Iran yang menjejaskan perniagaan mereka. Malah dalam banyak keadaan, harga barangan bertukar-tukar antara pagi dan petang. Mereka berpandangan kerajaan belum melakukan sesuatu yang berkesan. Untuk rekod Iran telah mengalami sekatan ekonomi selama berpuluh tahun di mana negara ini dilarang melakukan bermacam urusan niaga sehingga menjejaskan pembangunan negara tersebut. Sekatan ekonomi adalah salah satu cara untuk empayar Barat menekan negara yang tidak digemarinya, antara lain seperti Venezuela. Kedua-dua negara, Venezuela dan Iran memiliki takungan minyak, gas asli dan bahan mineral yang kaya dan menjadi dambaan empayar.

Protes peniaga itu disambut positif oleh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei di mana beliau menyatakan protes tersebut sesuatu yang wajar dan selayaknya dilakukan. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menggariskan kaedah paling segera iaitu bercadang untuk memberikan wang tunai (semacam bantuan SARA bawah kerajaan kita). Tunjuk perasaan tersebut tampak mereda.

Akan tetapi tiba-tiba pada 7 Jan 2026, ia meledak kembali, menimbulkan tanda tanya yang sah, apakah dan siapakah yang membumbuinya?

Pertanyaan di atas bukanlah sesuatu yang sukar untuk dijawab, dan seseorang tidak perlu terlalu naif berhempas pulas menciptakan satu naratif berlapik-lapis. Di media sosial, Donald Trump, dan Benjamin Netanyahu terang-terangan mengakui mereka di belakang protes ini. Malah Israel tanpa segan silu menyatakan sokongan kepada semua ejen Mossad yang memang sudah berada di Iran. Maka diciptalah naratif dalam media sosial konon para wanita Iran yang tidak berhijab tertekan dan tertindas oleh larangan agama; atau keinginan rakyat Iran untuk bebas dan mengembalikan Reza Pahlavi yang berada di Amerika Syarikat untuk memimpin mereka; atau hujah ekonomi Iran tidak diuruskan dengan baik oleh mullah; dan kemudian dinaratifkan 12,000 penunjuk perasaan telah dibunuh oleh pihak berkuasa Iran.

Semua itu dimudahkan oleh alasan Iran menutup dan menyekat internet, yang mana Elon Musk, penyokong kuat zionis dengan segera membekalkan starlink untuk ‘penunjuk perasaan’ ini. Makanya tiada berita dianggap sah datang dari Iran, kecuali naratif yang dibangunkan di media sosial oleh lasykar siber zionis yang diapi-apikan oleh diaspora Iran yang kebanyakannya menggilai Barat.

Mengapakah dan bagaimanakah Mossad dan CIA gagal lagi di Iran?

Pertamanya, akal waras kebanyakan rakyat Iran menghubungkan keganasan yang berlaku di Iran dengan Perang 12 Hari antara Iran dan Israel. Perang itu mengakibatkan kekalahan memalukan kuasa Zionis dan Barat. Tambahan pula ‘penunjuk perasaan’ didapati membakar beratus masjid, membunuh kanak-kanak, menyerang pengangkutan awam, dan membakar bangunan kerajaan. Betapa tinggi sekalipun rasa tidak puas hati rakyat Iran terhadap para mullah dan kerajaannya, tindakan membakar masjid adalah sesuatu yang memang tidak dapat diterima alasan kewarasannya. Maka dengan mudah belang Mossad dan CIA terbogel.

Kedua, hujah wanita Iran tidak bebas untuk tidak bertudung kini telah tidak laku. Dalam kunjungan saya ke Iran baru-baru ini, Iran sudah lebih kurang seperti Malaysia, di mana wanita berhijab dan non hijab sama banyaknya dan mereka menjalani kehidupan seperti biasa di tempat awam. Selepas insiden Mahsa Amini (wanita tidak berhijab yang meninggal dunia dalam tahanan); kerajaan tidak lagi mengambil tindakan keras terhadap wanita non hijabi. Bahkan ketika Perang 12 Hari lalu antara syuhada yang terkorban adalah wanita tidak berhijab dan mereka diberi status sakral oleh pihak berkuasa agama setara dengan mereka yang dianggap lebih beragama. Undang-undang moral untuk wanita tidak berhijab juga dikendurkan selonggarnya, cuma satu dua insiden sahaja terjadi di mana mereka dikenakan tindakan ini kerana terdapat pendedahan aurat yang berlebihan dan kelihatan sengaja dilakukan untuk tujuan provokasi. Sebarang video dan status media sosial mengenai hal ini tertolak dengan sendirinya. Apatah lagi setelah terdedah adanya beberapa video wanita penggemar Zionis yang konon mencabar mullah sebenarnya berlaku di Kanada, dan negara Barat lain. Maka dengan mudah belang Mossad dan CIA terbogel.

Ketiga, rakyat Iran tidak dapat menerima Reza Pahlavi sebagai pemimpin ganti Ayatollah Ali Khamenei. Hubungan Pahlavi dengan Benjamin Netanyahu diketahui umum di Iran yang sememangnya anti-Zionis. Bukan itu sahaja, cara hidup Pahlavi juga ditolak oleh rata-rata masyarakat Iran yang beragama. Pahlavi bukan sahaja mewah, tetapi juga hidup dalam mungkar. Kisah skandal isteri beliau dengan jurulatih senamnya dijadikan bahan meme di media sosial. Ketika Perang 12 Hari antara Israel dan Iran, Pahlavi malah menyokong Israel membuatkan rakyat Iran menolak kelompok monarkis yang kebanyakannya terdiri daripada diaspora Iran. Menggunakan wajah Pahlavi sebagai lambang menolak mullah adalah satu kebodohan. Ini kerana Pahlavi dianggap sehina anjing di republik tersebut. Maka dengan mudah belang Mossad dan CIA terbogel.

Keempat, hujah para mullah gagal menguruskan ekonomi dengan baik juga tertolak dengan sendirinya. Naratif yang dikembangkan oleh media Barat misalnya tidak diterima dengan baik oleh siapa pun yang mengenal Iran. Rakyat Iran misalnya tahu benar apa yang terjadi adalah kerana sekatan ekonomi Barat terhadap mereka. Makanya yang perlu dipersalahkan adalah Barat itu sendiri. Bukan itu sahaja, keadaan di Iran bukanlah terlalu melarat di mana rakyat mengalami kebuluran sehingga tiada makanan. Iran adalah sebuah negara besar yang mampu menampung keterjaminan makanan. Pada masa sama ditekan Barat, Iran masih berdaya membangunkan industri persenjataan yang canggih dan telah menewaskan Israel dan Barat dalam Perang 12 Hari. Maka dengan mudah belang Mossad dan CIA terbogel.

Kelima, naratif pihak berkuasa Iran membunuh 12,000 penunjuk perasaan juga tertolak sendirinya. Ini kerana dalam banyak keadaan, yang terbunuh adalah orang awam yang terperangkap ketika demonstrasi itu. Insiden juru rawat, anggota keselamatan, kanak-kanak dibunuh di dalam rusuhan membuatkan ramai marah tetapi kewarasan segera datang kembali kerana terdapat banyak insiden yang dilakukan terdiri dari ‘penunjuk perasaan’ yang membawa senjata seperti senapang, bom dan pelbagai benda tajam. Ini membuatkan rakyat Iran mempersoalkan siapa mereka, adakah mereka teroris atau Mossad dan CIA yang ditanam? Taktik membunuh orang awam, dengan harapan individu lain akan marah dan merusuh melawan anggota keselamatan telah pun dikenali di Iran. Negara ini bukan negara biasa, saban hari mereka melakukan protes; dan rakyat Iran cukup mahir sejarah dan tahu membezakan protes yang mana satu asli dan yang mana satu penipuan. Insiden campur tangan Amerika Syarikat di Venezuela juga dengan cepat membuatkan rakyat Iran sedar. Rakyat Iran sangat cekap dan celik isu geopolitik. Maka dengan mudah belang Mossad dan CIA terbogel.

Keenam, Iran adalah sebuah negara dengan majoriti rakyatnya beragama Islam dengan mazhab Syiah. Identiti sekolah pemikiran ini amat kuat dan dihayati oleh ramai rakyat Iran. Misalnya mereka sangat jelas dalam kisah pembunuhan Saidina Hussein cucu Nabi Muhammad SAW di Karbala, terdapat syiah yang berpaling tadah yang mana mereka itu dari Kufah. Seruan kami tidak akan menjadi Syiah Kufah begitu sebati dan kuat dilaungkan di mana pengkhianatan menjadikan protes yang merugikan negara ini satu kejijikan. Untuk mereka yang sama sekali tidak arif sejarah keimanan rakyat Iran, dan begitu jahil akan susur galur sejarah kepercayaan ini, saya ingin menasihatkan mereka supaya mengkaji dan memahami subjek ini dengan sesungguhnya sebelum mengulas darihal Iran. Kepercayaan ini membantu dengan mudah menelanjangkan belang Mossad dan CIA yang kian terbogel.

Kebanyakan golongan liberalis yang kononnya menyokong ‘kebangkitan rakyat Iran’ sukar menerima hakikat bahawa dalam demokrasi di Iran, majoriti yang menginginkan para ulama memimpin lebih ramai berbanding yang menolak mereka. Semua faktor yang saya sebutkan di atas bergumpal menjadi sebab-musabab mengapa Iran masih di tangan para ulama, atau mullah. Atau mengapa Mossad dan CIA masih gagal menawan Iran. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.