Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata gesaan ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh untuk keluar kerajaan diyakini akan diputuskan secara matang pimpinan parti itu.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda, berkata meskipun desakan itu dibuat secara terbuka menerusi konvensyen khas Pemuda Umno hari ini, namun beliau yakin pimpinan Umno akan membuat keputusan matang dan terbaik.
Katanya, beliau berpandangan desakan supaya Umno keluar daripada kerajaan perpaduan mungkin datang daripada ‘kumpulan tertentu’.
“Saya melihat Umno paling untung berada dalam kerajaan perpaduan. Mereka mendapat portfolio kementerian yang strategik dan pelbagai peranan untuk memperkasa orang Melayu-Islam.
“Agak pelik untuk mereka melepaskan peranan-peranan itu. Saya yakin kepimpinan Umno akan membuat keputusan yang matang dan terbaik berhubung isu ini,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, berkata andai Umno serius mahu menarik sokongan, kerajaan perpaduan tidak akan lumpuh kerana parti gabungan dari Sarawak dan Sabah tidak akan mengikut rentak permainan politik di Semenanjung.
“Kita mahu fokus kepada kebajikan rakyat. Soal ekonomi negara, sekiranya Akmal bersama sayap Pemuda Umno fokus untuk keluar dari kerajaan dan bersama PAS, itu biar rakyat menilai apa fokus Pemuda Umno sebenarnya sama ada mahu fokus kepada kebajikan rakyat, ekonomi negara, atau bermain politik,” katanya.
Beliau menyuarakan keyakinan rata-rata pemimpin Umno mahu kekal dalam kerajaan dan gesaan keluar itu hanya daripada sayap Pemuda sahaja.
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, meminta pemuda Umno khususnya menilai perlakuan mereka sendiri dan bukannya menjadikan DAP sebagai musuh khayalan setiap kali ada isu berbangkit.
“Semenjak wujudnya kerajaan perpaduan, tidak pernah pimpinan DAP mahupun akar umbi parti menyentuh atau menyerang pimpinan Umno, khususnya presiden Umno, untuk isu apa-apa pun. Daripada menuduh DAP mewujudkan provokasi, lebih baik menilai diri sendiri.
“Cuba bayangkan, sekiranya Pemuda DAP menyentuh atau menyerang presiden Umno seperti mana yang dilakukan ketua Pemuda Umno terhadap pemimpin DAP selama ini. Ini barulah provokasi dan maka sesiapa pemimpin yang berfikiran waras harus berhenti menjadikan DAP sebagai musuh khayalan,” katanya sambil menegaskan tindakan pemimpin DAP membangkitkan kes Najib Razak adalah berdasarkan fakta.
Terdahulu, Akmal secara terbuka menyeru kepimpinan tertinggi parti Melayu itu menerima PAS sebagai sekutu baharu dan tidak gentar untuk kembali menjadi pembangkang.
Berucap pada sidang konvensyen khas Pemuda, Akmal mendakwa kerajaan Madani hari ini tidak akan jatuh jika Umno menarik kembali sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Desakan Pemuda Umno itu menyusuli kegagalan pemimpin DAP, Yeo Bee Yin, memohon maaf berhubung hantaran ‘meraikan’ keputusan penolakan rayuan tahanan rumah Najib, yang juga bekas presiden Umno. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.