Ketua Pemuda Umno Kapar Mohd Affifi Aris berkata sayap itu perlu memainkan peranan untuk menghimpunkan orang Melayu.

Ketua Pemuda Umno Kapar, Mohd Affifi Aris, berkata parti itu mesti kembali menjadi tempat berhimpun orang Melayu dan tidak boleh ‘menumpang parti lain’.
Katanya, parti itu juga tidak boleh bergantung kepada individu cuba menjadi payung orang Melayu, merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan Sekretariat Orang Melayu, Jun tahun lalu.
Namun jelas Mohd Affifi, Mahathir telah uzur dan sedang dalam proses rawatan yang memerlukan tokoh itu terus berehat.
“Biarlah tugas Pemuda Umno untuk menjadi wadah menyatukan bangsa Melayu di tanah Melayu tercinta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyokong ucapan dasar ketua Pemuda Umno pada perhimpunan sayap itu.
Affifi turut mengingatkan perwakilan mengambil iktibar daripada perpecahan Umno pada 1988 yang menyaksikan pembentukan Team A dan B.
Tegasnya, generasi muda hari ini tidak boleh membenarkan episod serupa berulang dalam landskap politik moden.
“Apabila orang Melayu melihat kita berpecah, mereka akan bertanya, ke mana kita mahu dibawa dan siapa yang boleh diharapkan,” katanya, sambil merujuk sejarah bagaimana Johor pernah menjadi wadah penyatuan Melayu ketika Umno berdepan krisis dalaman.
Beliau turut menyeru semua pihak yang pernah tersisih, kalah dalam pemilihan atau pilihan raya, serta yang merajuk dengan parti, diajak kembali bersama Umno bagi memastikan ia kuat menghadapi PRU akan datang bersama Barisan Nasional (BN).
Affifi turut memuji kehadiran bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ke persidangan sayap itu untuk memenuhi jemputan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh.
“Ini membuktikan adanya titik pertemuan di kalangan orang Melayu walaupun berbeza pandangan sebelum ini,” katanya.
Khairy dipecat Umno pada Januari 2023 dan kehadirannya ke perhimpunan Pemuda membayangkan kesediaan untuk kembali ke pangkuan parti. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.